Rasulullah saw pada masa lapang akan melawat mereka yang sakit kerana baginda sangat ingin menghiburkan hati si pesakit dan kadangkala baginda sendiri menolong memberikan ubatnya. Manusia memang tidak sunyi dari sakit dan sihat, malah Nabi saw juga mengalami sakit.
Apabila baginda sampai ke tempat orang yang sakit, Nabi akan meletakkan tangan padanya sambil bertanya dengan kasih sayang.
"Apa yang engkau rasakan?" demikian diucapkannya.
Kemudian Nabi saw akan menghiburkan hati orang yang sakit itu dengan kata-kata yang baik dan mununjukkan ubat-ubat padanya. Perlakuan baginda itu terkenal dengan istilah "Thibbun nabawi" iaitu penyembuhan sakit menurut ubat yang dicontohkan Nabi saw.
Adakalanya Nabi membacakan ayat-ayat sebagai ubat dan adakalanya Nabi membacakan ayat-ayat sebagai ubat dan adakalanya juga meminumkan air yang telah dibacakan ayat-ayat suci padanya. Ini adalah di antara cara-cara Nabi memberikan bantuan dalam mengubati mereka yang sakit.
Suatu hari isteri baginda Aisyah mengalami derita sakit yang menyebabkan beliau mengeluh.
" Jangan berkata apa-apa yang tidak baik pada penyakit, sebab ia menjalankan tugasnya," demikian berkata Nabi saw kepada Aisyah. Baginda kemudian menunjukkan ubatnya dari ayat-ayat suci. Aisyah mengikuti petunjuk Nabi sehingga beliau sembuh.
Baginda sendiri pernah menderita sakit kerana digigit kala jengking sewaktu sedang sujud dalam solat.
"Allah mengutuki kala jengking, baik Nabi maupun orang biasa sama disengatnya," demikian cara Nabi mengeluh sakit.
Baginda kemudian meminta air dalam bekas lalu dicampur garam. Luka bekas disengat tadi baginda rendamkan pada bekas mengandungi air dan garam itu sambil membaca ayat Surah Al Ikhlas, Al Falaq dan AnNas. Dengan izin Allah, rasa sakit itu sembuh.
Tidak kurang juga baginda menitiskan air mata kerana melihatkan keadaan orang itu. Pernah disuatu masa bersama-sama dengan beberapa orang sahabat baginda pergi menziarahi Saad bin Ubadah. Beliau orang yang dikenali sehingga penuh sesak rumahnya dengan orang yang datang menjenguknya.
"Apakah sudah dekat saat meninggalnya ? " tanya Nabi sebab sakit Saad itu kelihatan amat tenat sekali.
Baginda menitiskan air mata melihat keadaan Saad itu dan ramai yang lain demikian juga.
Baginda sering menekankan dalam ajarannya dalam kita memziarahi orang sakit, ialah menghiburkan hatinya. Terutama membayangkan harapan bahawa beliau akan sembuh atau pulih walaupun ajalnya sudah dekat.
"Bila kamu menjenguk orang sakit maka tanamkanlah kata-kata kepadanya bahawa beliau akan sembuh. Jiwanya akan tenteram oleh kata-kata itu". Begitu tuntutan Nabi saw.
Kata-kata harapan atau doakan semoga mereka yang sakit itu diberkahi Allah dan cepat sembuhnya, sudah tentu sedikit sebanyak dapat mengembirakan dan menyegarkan jiwa yang sakit itu. Namun demikian, Nabi juga memperingatkan tentang ubat-ubat yang digunakan, baginda menganjurkan berubat kalau sakit, tetapi jangan berubat dengan yang haram iaitu ubat-ubat yang didalamnya ada unsur yang haram seperti bahan-bahan memabukkan.
"Tiap-tiap penyakit ada ubatnya, maka berubatlah kamu, tetapi jangan berubat dengan yang haram," demikian pesanan Nabi saw kepada umatnya.
Suatu ketika Nabi dikunjungi Abu Sa'id Al Khudry dan mengadukan tentang saudaranya yang sedang sakit. Ia ingin mendapatkan pertolongan Nabi untuk mengubati penyakit itu.
"Minumlah madu," demikian Nabi berpesan kepada Abu Sa'id.
Abu Sa'id segera pulang menemui saudaranya yang sedang sakit lalu menyuruhnya meminum madu sepertimana pesanan Nabi. Tetapi tidak juga sembuh, malah kelihatan seperti bertambah sakitnya. Beliau kembali menemui Rasulullah dan memberitahu keadaan sakit saudaranya.
"Allah tetap benar, hanya perut saudara engkau yang berdusta," jawab Nabi saw kepada Abu Sa'id.
Baginda menyuruh meminumkan madu itu lagi. Abu Sa'id segera kembali ke rumah dan menyuruh saudaranya meminum madu itu lagi. Namun sakitnya belum sembuh sehingga diberitahu lagi kepada Nabi saw dan baginda tetap menyuruh minum madu itu sehingga empat kali. Akhirnya sembuh dan Abu Sa'id menemui Nabi dengan hasil yang menggembirakan.
"Allah tetap benar, hanya perut saudara kamu yang berdusta." demikian Nabi mengulang kata-katanya dahulu. Madu kemudian dikenali sebagai satu ubat yang baik diminum untuk kesihatan manusia. Nabi saw telah memberitahu kepada umatnya sejak dahulu lagi.
Sesungguhnya ajaran Islam yang dikembangkan oleh Nabi saw ini penuh dengan bimbingan berguna buat manusia hidup berbahagia di dunia dan di akhirat. Dianjurkan manusia agar menjadi sihat selalu dengan diberikan aturan yang baik dan praktis tentang makan, minum, tempat, pakaian, kediaman, tidur dan bergerak. Jika ada yang sakit dianjurkan sama menjenguknya dan si pesakit dituntun bagaimana harus dia menghadapi sakitnya. demikian juga cara pengubatan hendaklah dari yang baik-baik. Kepada yang sakit dan meninggal dunia diberikan panduan bagaimana menyelenggarakan mereka itu ke alam barzakh.
Doa menziarahi orang yang sakit
Doa menziarahi orang yang sakit
Tidak mengapa, semoga penyakit ini membersihkan dosamu, insyaAllah.
Aku memohon kepada Allah Yang Maha Agung, Tuhan Arasy yang agung, supaya menyembuhkan engkau.
"Tiada seorang muslim yang menziarahi orang sakit yang belum sampai ajalnya, kemudian membaca doa ini tujuh kali nescaya disembuhkan penyakitnya itu." At-Tarmizi & Abu Daud.
No comments:
Post a Comment
Assalamualaikum pengunjung. Terima kasih atas semua komen-komen anda. Komenlah apa sahaja asalkan tidak tercatat dosa di dalam buku amalan anda(mencarut berdosa tau !).Terima kasih komen yg membina. Terima kasih juga komen yg menjatuhkan. Orang-orang hebat menjadi hebat setelah banyak kali bangun dari banyak kali kejatuhan. Akhirnya ia bangun dan tak jatuh-jatuh lagi.