Baitullah : Rindu yang tak pernah padam

Baitullah : Rindu yang tak pernah padam
Baitullah : Rindu yang tak akan padam hingga ke akhirku...

Tuesday, August 31, 2010

Merdekakah Kita ?



Dari inspirasi saya... Bendera baru Malaysia.

Assalamualaikum pengunjung budiman. Saya ucapkan selamat menyambut kemerdekaan kali yang ke 53. 1Malaysia Menjana Transformasi. Wah ! Dah lebih setengah abad negara kita mencapai status kemerdekaan, apakah kita benar-benar merdeka dari segi minda dan fizikalnya ? Fizikalnya mungkin kita dah merdeka, tapi disegi minda kita...mungkin kita masih lagi terkongkong dan dibelenggu dengan pelbagai polemik paradigma yang jumud yang menyebabkan kita tidak dapat berfikir seperti masyarakat kelas pertama. 

Buktinya..negara kita maseh lagi berada pada index teratas dalam amalan rasuah. Perkembangan ekonomi kita telahpun dipintas oleh negara-negara jiran terdekat kita seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia yang mana satu ketika dulu mereka berada di belakang kita. Amat malang, negara kita juga antara pusat 'human traficking' yang tersohor di rantau Asia dan disegi politiknya, amalan demokrasi kita dipertikaikan oleh masyarakat luar.  Memang tidak dinafikan ada beberapa perkara yang boleh menjadi kebanggaan kita semua tentang kejayaan yang telah dicapai dan dikecapi oleh negara kita, tetapi secara umum, tidak keterlaluan kalau  saya katakan di sini bahawa mentaliti kita masih lagi seperti masyarakat kelas ketiga walaupun sudah lebih setengah abad masyarakat kita hidup merdeka berdasarkan bukti-bukti di atas tadi.

Tidak hairan, musuh-musuh Islam telah menyalahkan 'Islam' itu adalah penyebab kepada semua amalan rasuah, keganasan serta kemunduran walhal kesalahan itu sebenarnya terletak atas bahu orang-orang Islam yang mencemarkan nama Islam tersebut. Bukanlah salah agama itu, tetapi salah orang-orang Islam sendiri. Andai kita memilih Islam sebagai pengaturcara mentadbir negara serta masyarakat, saya yakin 100%, minda kita terus merdeka dan berfikir secara kelas pertama.

Mungkin menjadi satu rahmat apabila, seorang rakyat negara kita dikenali sebagai "Namewee" telah mencetuskan satu kontroversi apabila klip video "Negaraku"nya di Youtube didakwa  berunsur menghina dan tidak patriotik pada tahun 2007 ketika beliau menuntut di Taiwan. Walaupun ramai yang menyatakan kemarahan terhadap klip video tersebut, namun kontroversi itu telah membuka pekung di dada pemerintah kita bahawa selama ini lagu "Negaraku" kita itu hanyalah sekadar lagu ciplak sahaja!  Andai tidak kerana isu kontroversi tersebut, tidak ramai yang tahu bahawa kita telah menciplak hasil ciptaan orang lain sejak 53  tahun dahulu untuk sebuah lagu kebangsaan. Amat pahit untuk kita menerima hakikat ini.!! 

Inilah yang dikatakan minda kelas ketiga, tidak genuin, dan tidak ada jati diri. Memang mengaibkan bila mengetahui lagu kebangsaan kita itu adalah lagu yang diciplak dari "Mamula Moon" sebuah lagu Hawaii (Layari Youtube). Bukan sahaja lagu kebangsaan kita yang menjadi isu...bendera kitapun diciplak dari bendera Amerika. Sejarah telah merekodkan bahawa bendera kita dicipta oleh rakyat kita sendiri iaitu Allahyarham Mohamed Hamzah pada tahun 1947, tetapi sepatutnya penciptaan yang perlu diterima ialah ciptaan  yang mencerminkan jati diri bangsa kita sendiri dan bukannya penyamaan kepada identiti orang lain.

Saya tidak bercakap mewakili mana-mana parti politik, kerana politik bukanlah bidang saya. Education is still uppermost in my mind. Saya bercakap atas dasar kesedaran diri dan jiwa merdeka saya sendiri dan melihat isu jati diri bangsa sebagai satu isu yang patut dirasionalkan oleh semua rakyat Malaysia. Be open-minded and start thinking out of box then become the first class society.  Kepada kerajaan kita, JOM TUKAR BENDERA DAN LAGU KEBANGSAAN ! Hasilkan sesuatu yang baru lagi genuine dan ori, hasil ciptaan anak bangsa kita . 

Di atas adalah sekadar cadangan dari saya rupa bendera kita yang baru. Amacam ok tak ?  Bagi lagu kebangsaan pula, kalau dah malas sangat nak mencari ilham baru, ambil sahaja lagu2 patriotik kita yang sedia ada sebagai lagu kebangsaan. Pastikan ketulenannya supaya pisang tak berbuah dua kali. Di akhir penulisan ini...Selamat menjana transformasi !!MERDEKA ! MERDEKA ! MERDEKA !


Wednesday, August 25, 2010

Tetamu-tetamuku Yang Memberi Makan

Assalamualaikum pengunjung budiman. Dua hari lalu, pada 13 Ramadhan, saya menerima panggilan dari seorang pelajar. " Assalamualaikum Puan. Mengganggu ke puan ? Sihat dah ?". " Alhamdulillah, semakin pulih. Tak pe tak ganggu " balas saya. Rupa-rupanya panggilan itu adalah untuk memohon keizinan bertandang ke rumah  dan menziarahi saya yang sedang bercuti sakit yang agak panjang dan seterusnya bersama-sama berbuka puasa di rumah saya. " Alamak ...! masih tak sihat ni...macamana nak masak untuk 14 orang ?"  getus hati kecil saya . Dengan nada yang bersungguh-sungguh pelajar itu mohon benarkan dia bersama 13 lagi rakan sekelas datang bertandang pada petang itu juga. Nak kata tidak pun, saya rasa bersalah, nak kata ok, bimbang saya tak dapat menyediakan juadah iftar untuk tetamu dalam bilangan yang agak besar tanpa persiapan awal lebih2 lagi keadaan kesihatan yang belum pulih.
Tetamu-tetamu saya yang memasak, menyediakan hidangan iftar serta menaja semua perbelanjaan. Gotong-royong di dapur.

" Ok.OK datanglah. Tapi saya mohon maaf awal2 sekiranya saya tak mampu melayan kamu semua dengan baik dalam keadaan saya yang macam ni". Hati keibuan saya berat untuk mengatakan tidak. Pelajar2 saya, saya santuni seperti anak2 saya juga. Bab melayan budak2 ni memang saya suka. Mungkin sebab itulah mereka ingin menziarahi saya, 'ibu' mereka yang dah agak lama tak berinteraksi bersama. 

Pada mulanya suami pun rasa  berat menerima tetamu-tetamu saya memandangkan saya masih tidak sihat dan mencadangkan agar mereka menziarahi di lain masa apabila saya dah mula sihat sedikit. Tetapi saya tetap beri jaminan kepada suami bahawa menerima tetamu2 tersebut akan memberikan pahala yang banyak lebih2 lagi di bulan Ramadhan. Memberi layanan yang baik kepada tetamu adalah sebahagian dari tuntutan iman . Lagipun kunjungan mereka ialah untuk menziarahi saya yang sedang sakit. 

Hidangan iftar yang sangat istimewa..
Rezeki yang tak disangka-sangka.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda tentang bertamu ni: “Barang siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menghormati tetamunya. Barang siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia menyambung silaturahim.” (Hadis riwayat Bukhari).

Akhirnya, pada petang itu, tetamu2 saya, juga mentee-mentee saya seramai 14 orang datang menyerbu. Ada yang berkereta, ada yang berkomuter dan ada yang bermotosikal (  2 orang pelajar lelaki). Rupa-rupanya mereka datang bukan dengan tangan kosong. Bawa 3 ekor ayam segar, barang2 dapur, sayur2, buahan2, dan pelbagai bahan-bahan mentah untuk dimasak. " Puan rehat ajelah...kami masak semua. Kami faham keadaan puan, kami datang sebenarnya nak membantu" kata Monitor kelas.

Gotong royong pun bermula pukul 4.00petang  lagi dan saya serta anak dan suami goyang kaki pada hari itu. Dan sempat pulak saya melayari internet ! he he he. Perbelanjaan semua ditanggung oleh pelajar-pelajar saya menggunakan tabung kelas. MasyaAllah, subhanAllah..sepatutnya sayalah yang memberi makan kepada tetamu-tetamu tetapi terbalik pulak, tetamu-tetamu saya yang memberi makan kepada saya. Rumah saya seolah-olah berkenduri  pada  hari itu. Dengan kuasa Allah saya rasa jadi  lebih sehat dan begitu ceria dengan kehadiran semua mentee-mentee saya. Saya benar-benar terharu dengan layanan istimewa yang saya terima dari pelajar2 saya. Ke semua pelajar-pelajar saya ialah bakal guru pra-sekolah, jadi teringatkan satu ungkapan indah yang tertampal di sebuah kelas yang saya ajar; " Apa itu guru ? Guru itu halus budinya". Didoakan semoga budi baik pelajar2 saya mendapat ganjaran pahala yang melimpah ruah lebih2 lagi di bulan yang penuh barakah ini. Syukur nikmat Allah yang tak disangka-sangka ini. Memuliakan dan menerima tetamu, tidak ada ruginya...!

Hari itu, saya hanya goyang kaki...bertambah sihat jadinya.

Allah s.w.t merakamkan perihal Nabi Ibrahim a.s yang menerima tetamu walhal baginda tidak mengenali tetamu-tetamunya itu menerusi firman-Nya bermaksud: “Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Ibrahim yang dimuliakan? Tatkala mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: “Salam sejahtera kepadamu!”, Ibrahim menjawab: “Salam sejahtera kepada kamu!” (sambil berkata dalam hati): Mereka ini orang yang tidak dikenali. Kemudian ia masuk mendapatkan ahli rumahnya dan dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkan kepada mereka sambil berkata: “Silakanlah makan.” (Surah adz-Dzaariyaat, ayat 24-27).
Hakikatnya, amalan menghormati tetamu bukan saja menunjukkan ciri-ciri perilaku terpuji, malah berkait rapat dengan tahap keimanan seseorang Muslim.

'Short-notice' guests...bagaikan kenduri.

Saya juga percaya pada ungkapan ini. WHAT YOU GIVE, YOU WILL GET BACK  . Layanan2 baik saya kepada pelajar2 saya  telahpun saya terima semula pada 13 Ramadhan tersebut. Jazakumullah khairan kathiro 'anak-anakku'. Berkunjung lagi di hari raya..

Sunday, August 22, 2010

Pelajar Madrasah Singapura Bertaraf Dunia


video

Assalamualaikum pegunjung budiman. Kaget dan terpesona apabila saya menonton video klip "Madrasah Vs American School" yang dipostkan sahabat di laman facebook . Sememangnya saya tidak berminat dengan facebook lagi kerana beralih kepada millaifacebook, tetapi akaun fb itu tidak saya 'deactivate'kan. Jadi once in every blue moon saya melayari fb kot-kot ada sesiapa yang menghubungi. Ternyata saya mendapat sesuatu yang menarik untuk dikongsi bersama.

MASYAALAH sebuah must see video!!. Sebuah rancangan debat ala Parlimen di Singapura , "Arena" yang berlangsung pada tahun 2008. Saya kira pertandingan debat tersebut merupakan program berprestij yang boleh saya kelaskan setaraf dengan  Pertandingan Pidato/Debat ala Parlimen Piala Perdana Menteri peringkat kebangsaan antara sekolah2 berasrama penuh (SBP) yang biasa diadakan setiap tahun di tanahair kita. Cumanya dari pengamatan saya, program "Arena" tersebut  nampak lebih kelas dan bertaraf dunia. Maaflah. Saya memang dah terbiasa dengan pertandingan pidato/debat kerana 9 tahun bertugas di sebuah SBP di Perak. Jadi perbandingan tersebut saya kira reliable.

Betapa petah dan fasih seorang pelajar perempuan Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah Singapura berhujah dan menjawab dan mematah soalan perbahasan pihak pembangkang tanpa teragak-agak  dalam Bahasa Inggeris. Gaya penampilan yang bersahaja dan berkeyakinan tinggi, beliau, Siti Nordiana bt Hardy telah berjaya mempengaruhi juri sehingga dinobatkan sebagai "Best Speaker of 2008". MasyaAllah inilah satu kelebihan serta nikmat yang Allah kurniakan kepada remaja perempuan tersebut yang mana tidak ramai kita memilikinya. Kendatipun tidak ada kaitan saya dengan pelajar tersebut, tapi dihati kecil saya tetap berbangga dengan kelebihan beliau kerana bahawasanya pelajar madrasah juga hebat dan bertaraf dunia ! Saya doakan satu hari nanti beliau terus berjaya dalam menegakkan syiar Islam bil lisan dan mengharumkan nama Madrasah dalam apa sahaja bidang yang beliau ceburi.

Sesungguhnya kefasihan dan kepetahan berhujah adalah aset yang amat penting dalam berdakwah. Rasulullah saw sendiri dibekalkan dengan sifat-sifat tabligh dan fatonah, dimana apabila beliau menyampaikan sesuatu beliau sampaikan dengan bahasa yang lancar dan mudah, penuh makna, tidak sia-sia dan dapat menusuk setiap lubuk hati yang keras seperti batu. Allah swt telah membekalkan kebolehan berhujah serta kefasihan kepada Baginda agar setiap syiar Allah dapat disampaikan dengan jelas dan tepat.

Ternyata kebolehan meyampaikan amanat Allah merupakan faktor utama yang wajib ada ke atas semua para nabi dan ia adalah termasuk dari salah satu dari empat sifat-sifat nabi iaitu siddiq, amanah, tabligh dan fatonah. Nabi Musa a.s sendiri banyak bersandarkan bantuan untuk berhujah daripada saudaranya Nabi Harun a.s kerana kekurangan kebolehan bertutur dengan lancar. Sehinggakan Nabi Musa a.s memanjatkan doa kehadrat Allah swt dalam surah Taha ayat 25-27;
      " Wahai Tuhanku, lapangkanlah dadaku, dan mudahkanlah bagiku dari tugasku dan lancarkanlah lidahku supaya mereka faham akan perbicaraanku."

Sahabat-sahabat besar Rasulullah saw seperti Saidina Ali Abi Talib  dan Mus'ab b Umair pernah ditugaskan menjadi duta Rasulullah saw selepas perjanjian Aqabah pertama kerana kefasihan mereka berhujah dan berunding. Begitu juga dengan para tabi'in dan ulamak-ulamak terdahulu seperti ke empat-empat Imam mazhab fiqh yang masyur, Imam Al Ghazali dan ramai lagi , dimana lidah mereka lebih berbisa daripada mata pedang. Allah swt telah menganugerahkan mereka dengan ketajaman fikiran dan ketajaman lidah untuk mewarisi tugas-tugas nabi menyampaikan amanat Allah. 

Firman Allah SWT dalam surah An-Nahl (16); ayat 125 mendidik kita bagaimana cara untuk berhujah dalam ber berdakwah;
"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu (dengan hikmah dan nasihat pelajaran) yang baik dan bantahlah (hujah) mereka dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk."

Ayat ini dengan jelas menetapkan prinsip asas yang perlu dipatuhi dalam urusan dakwah. Prinsip yang pertama ialah dakwah bil hikmah, untuk menyampaikan seruan dakwah dengan cara yang penuh dengan hikmah (bijaksana). Untuk berhikmah sudah pasti memerlukan kefasihan dan penggunaan bahasa yang baik.

Kalau dulu jihad dengan pedang, hari ini realiti perjuangan dakwah sudah berbeza. Kini jihad lebih kepada kepetahan dan kefasihan dalam pemikiran, berhujah dan mengetahui pentas pertahanan Islam.Berbalik kepada pelajar madrasah tadi, ciri-ciri kepetahan dan berhujah yang ada pada beliau sangat saya kagumi. Itulah kelebihan yang sepatutnya ada pada semua daie dan seharusnya semua pelajar madrasah tak kira dimana sahaja madrasah tersebut,bertaraf dunia seperti itu.Allahu'aklam.





Friday, August 20, 2010

Larangan "COUPLING" Patut Disokong Di Semua IPG

Assalamualaikum wbt. Ku kira berita-berita yang ku perolehi dari Malaysiakini merupakan berita baik dan sepatutnya dilaksanakan di  semua IPG di Malaysia. Malangnya pihak atasan di Putrajaya nampaknya tidak memberikan 'blessing' 100% terhadap peraturan yang mula dikuatkuasa di IPG Tengku Ampuan Afzan. Secara peribadi, aku angkat sepuluh ibujari sekiranya ada sebagai tanda sokongan larangan berkenderaan secara berdua-duaan bagi pelatih2 IPG yang berlainan jantina.

Tahniah buat Pengarahnya Datuk Mazlan yang berani menguatkuasa larangan tersebut walaupun beliau pasti akan menerima bantahan-bantahan dari mereka jahil tentang Islam (Baca Berita 2) Ingatlah pesan Junjungan kita Nabi Muhammad saw " Apabila kamu melihat kemungkaran, cegahlah dengan tanganmu, kalau tidak mampu cegahlah dengan lidahmu, dan kalau kamu tidak mampu, cegahlah dengan hati kamu.  Itulah selemah-lemahnya iman". 

Sebagai seorang Pengarah yang mempunyai authoriti terbesar di IPG, sudah tentu beliau dapat membuat tindakan-tindakan melalui kuasa (tangan yang dimaksudkan) yang ada pada beliau maka sepatutnya tindakan beliau tersebut wajar mendapat sokongan semua pihak memandangkan gejala sosial  di semua IPTA/IPTS kini semakin membimbangkan.

Di tempat ku sendiri IPG KBM, 'coupling' begitu ketara sekali dan nampaknya bilangan mereka makin bertambah. Aku sendiri malu melihat telatah-telatah sumbang mereka ini. Tidak wajar bakal-bakal guru bertingkahlaku demikian kerana mereka adalah bakal contoh dan idola kepada pelajar2 mereka nanti. Andai guru sendiri ber'coupling', anak murid pula bagaimana? Aku benar-benar berharap dan berdoa  semua IPG2 lain akan mengikuti jejak langkah IPG Tengku Ampuan Afzan selepas ini terutamanya di tempat aku bertugas sekarang. ameen.


Berita 1 - Malaysiakini 17 Ogos 2010
Menaiki kenderaan secara "berdua-duaan" di antara pelatih yang berlainan jantina adalah satu kesalahan jika dilakukan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Tengku Ampuan Afzan di Kuala Lipis, Pahang.






Menurut memo yang diedarkan oleh institut perguruan itu, larangan berkenaan dikuatkuasa sejak 10 Ogos lalu dengan tujuan bagi mengekang kegiatan maksiat.

Pengarahnya, Datuk Mazlan Mohamad ketika dihubungi mengesahkan bahawa larangan itu dikeluarkannya mengikut bahagian II dalam Tatatertib Am, Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 (Akta 174).

Perbuatan berdua-duaan itu sebagai "kelakuan yang boleh ditafsir sebagai boleh merosakkan atau mendatangkan mudarat kepada nama baik institusi sama ada di dalam atau di luar kampus," menurut salinan memo yang diperolehi Malaysiakini.
Buang bayi

"Pihak keselamatan tidak akan membenarkan kenderaan yang terlibat keluar dari pintu masuk ke IPG jika melakukan kesalahan yang dinyatakan," memo itu dipetik.

"Sebab apa, kita buat begitu sebab hendak cegah. Itu lebih baik sebelum berlaku kejadian seperti buang bayi," kata Mazlan ketika ditanya sebab penguatkuasaan seperti itu.







IPG Tengku Ampuan Afzan

Beliau memberi contoh perbuatan berdua-duaan yang ingin ditegahnya itu seperti "berpegang-pegangan di dalam kereta." 

Beliau juga menafikan tanggapan bahawa penguatkuasaan itu dibuat dengan melampau, memandangkan tidak ada bantahan daripada para pelajar.

Katanya lagi, peraturan itu hanya dikuatkuasakan di kawasan kampus dan ditujukan kepada para pelajar yang secara terang-terangan dan berulang-kali menaiki kenderaan secara berdua-duaan untuk keluar daripada kampus tersebut.

"Saya jelaskan kepada pelajar, bukan tidak boleh langsung naik motorsikal bersama. Kalau ada urusan tak apalah.

"Cuma kita tidak mahu para pelajar ini sering keluar malam, tambahan pula dengan orang luar."
Berdua-duaan
"Kalau untuk makan saja tidak ada masalah. Tapi kalau sudah habis makan tapi masih berdua-duaan dalam kereta, itu sudah tidak patut," katanya.

Mazlan bagaimanapun menegaskan, tidak ada bentuk hukuman ditetapkan untuk kesalahan seperti itu.
Jelasnya, langkah yang akan diambil adalah menasihati pelajar dan staf terbabit apabila timbul banyak aduan berhubung tingkah laku mereka.

Tambahnya, beliau tidak tahu sama ada institut pengajian tinggi lain turut mengambil langkah sama seperti kampus tersebut.

Katanya lagi, warga kampus itu yang sebahagian besarnya terdiri daripada kira-kira 1,400 orang pelajar perlu menyedari keadaan sosial setempat di Kuala Lipis yang menurutnya sukar menerima perbuatan seperti itu.

Jelasnya, tahap toleransi masyarakat luar bandar itu adalah berbeza daripada masyarakat seperti Kuala Lumpur.

Berita 2-Malaysiakini 20 Ogos

Timbalan Menteri Pelajaran Wee Ka Siong menafikan terdapat memo arahan dikeluarkan kepada institut perguruan yang melarang pelatihnya yang berlainan jantina daripada berkenderaan berdua-duaan.wee ka siong interview 220310 04"Saya sudah semak dengan pengarah yang bertanggjawab dalam jabatan latihan guru, beliau beritahu tiada dasar seperti itu dibuat di Putrajaya.

"Ini bukan dasar kementerian, dan saya minta pengarah berkenaan ambil tindakan. Kami tidak pernah keluarkan arahan sebegini." katanya Wee (
kiri).

Pada 17 Ogos, 
Malaysiakinimelaporkan "berdua-duaan" di antara pelatih yang berlainan jantina menjadi kesalahan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Tengku Ampuan Afzan di Kuala Lipis, Pahang.

Menurut memo yang diedarkan oleh institut perguruan itu, larangan berkenaan dikuatkuasa sejak 10 Ogos lalu dengan tujuan bagi mengekang kegiatan maksiat.

Perbuatan berdua-duaan itu sebagai "kelakuan yang boleh ditafsir sebagai boleh merosakkan atau mendatangkan mudarat kepada nama baik institusi sama ada di dalam atau di luar kampus," menurut salinan memo itu.

Ketiika dihubungi 
Malaysiakini semalam, Wee bagaimanapun enggan menghuraikan bentuk 'tindakan' yang akan diambil kerana ia terpulanglah kepada pengarah.Apabila ditanya berhubung kenyataan pengarah institut itu Mazlan Mohamad yang mahu "mencegah masalah sosial seperti perbuatan buang bayi", Wee berkata mengedarkan memorarandum itu bukanlah caranya.

"Maksiat boleh dihindarkan dengan cara lain. Jika dua orang bersama dalam kereka, kamu tak boleh serta-merta syak mereka buat perkara sebegitu. Kamu tidak boleh buat kesimpulan awal. 

"Bayangkan, kalau seorang anak gadis makan tengah hari dengan seorang budak lelaki, adakah mereka buat maksiat?

"Jika kamu betul-betul sasarkan pada pelaku maksiat, mesti beri amaran keras pada mereka yang rosakkan imej sebuah institusi," katanya.

Bercakap kepada 
Malaysiakini Selasa lepas, Mazlan menjelaskan pihak keselamatan institut itu tidak membenarkan kenderaan yang bersalah keluar dari IPG itu sebagai satu langkah pencegahan gejala negatif, seperti pembuangan bayi.

Wednesday, August 18, 2010

Kisah Tudung Dan Jubahku

Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw serta keluarga Baginda, para sahabat juga tabi'in, muslimin muslimat di seluruh penjuru alam. Rahmat dan keampunan Allah untuk semua di bulan Ramadhan yang penuh berkah ini.


Agak terlewat aku cuba membicarakan hasil pembacaan yang ku perolehi dari majalah Solusi isu No 21 di blog ini. Keadaan kesihatan yang tidak menentu menghalang aku daripada mencurahkan segala idea penulisan. Ada kalanya Allah menganugerahkan kita kesejahteraan tubuh badan dan adakalanya Allah menarik segala nikmat tersebut. Yang pasti, sepanjang hayatku, Allah telah melimpahkan rahmat dan kasih sayang Nya kepadaku dengan kesihatan tubuh badan sedangkan aku terus-terusan dalam keadaan lalai. Syukurlah...keadaan tidak sihat aku kebelakangan ini telah menyedarkan aku betapa Allah swt amat kasihkan aku lantaran aku mula sedar semua nikmat kesihatan yang aku kecapi selama ini. Semua ini adalah menjadi kafarah kepada dosa-dosaku yang tak terhitungkan. Bagiku yang hina ini, penyakit yang ku alami bukan untuk menaiktaraf imanku seperti hamba-hambaNya yang terpilih..cuma sekadar membasuh segala dosa-dosaku yang tersembunyi dan nyata. Syukur alhamdulillah.

Berbalik kepada ilmu yang ku perolehi dari majalah Solusi, pada mukasurat 68, hasil tulisan Ustazah Fatimah Syarha Mohd Noordin, benar-benar membuai dan mengusap kalbuku. Bait-bait ayat yang begitu indah dan puitis gayanya, beliau menyampaikan perasaan jauh di lubuk hati tentang istimewanya tudung labuh yang dipakai beliau sejak remaja. Aku benar-benar merasakan setiap luahan hati tentang tudung labuhnya itu adalah suara hatiku sendiri. Dari alif hingga ya, semuanya realiti keistimewaan tudung labuh yang juga ku pakai sejak tahun 1987 ketika menuntut di Kolej Pengajian Persediaan, Shah Alam, melainkan pengalaman2 peribadi beliau sudah tentu berbeza dengan pengalamanku sendiri.



Bermula 1987, menjadi pelajar kolej, aku mula mengubah cara hidup demi mencari keredhaan Allah. Benar, bak kata ustazah tersebut, aku juga menghormati kata-kata "Don't judge a book by its cover ", jangan nilai sesiapa daripada tudungnya. Yang bertudung hari ini pun ada yang ditangkap khalwat dan membuang anak zina ke dalam tong sampah ! Tapi bagiku secara peribadinya, tudung labuh itu sebenarnya adalah pendinding kepada sipemakai daripada perkara-perkara keji dan sumbang dipandang mata. Tak sanggup aku ke panggung wayang...kerana akukan bertudung labuh ! Begitulah lebih kurang maksudnya.



Mula bertudung labuh pada tahun 1987

Kini aku tambah lagi satu isu...berjubah. Sama sahaja falsafah aku bertudung labuh dan berjubah. Untuk menjadi pendindingku daripada perkara keji dan mungkar ! Nilai tambahnya.. aku dihormati sesiapa sahaja termasuk gengster !! Sebagai guru..di awal posting lagi aku dah dipanggil ustazah sehinggalah menjadi pensyarah di IPG KBM, walhal hakikatnya aku adalah English teacher dan guru matematik ! Tidak pernah pelajar2 nakal mengeluarkan kata-kata tidak enak kepada ku, malah yang kuterima selama 18 tahun menjadi pendidik adalah kata-kata hormat belaka.

Mula berjubah pada tahun 1989, ketika aku menjejakkan kaki di bumi Uncle Sam, Amerika. Anehkan ? Berjubah di negara kafir..Tidak ada yang aneh. Muslim Amerika adalah kelompok minoriti disana, maka muslim Amerika hidup dengan ukhuwwah yang utuh antara satu sama lain. Semua badan-badan islam bergerak aktif dalam dakwah termasuklah persatuan yang aku ceburi secara aktif ketika itu iaitu Malaysian Islamic Study Group (MISG). Juga aku dihormati atas kepercayaan yang aku anuti, sentiasa dipanggil sister oleh mana-mana rakyat Amerika yang cuba mengenaliku. Tidak pernah aku digugat kerana jubah dan tudung labuhku itu.


Berjubah pada tahun 1989 ketika menuntut di bumi Amerika

Setelah 23 tahun berjubah dan bertudung labuh...kini baru identiti yang telah sebati ditubuhku digugat ditanahair sendiri oleh saudara seislamku. Tudungku tidak dipertikaikan tetapi jubahku.
Sebagai kakitangan kerajaan, aku terikat dengan akta-akta serta peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh pekeliling2. " Eh ! Goverment Servant dilarang berjubah. Mesti pakai two pieces !". Itu teguran yang aku terima daripada seorang rakan sejawatan. Kemudian aku menerima lagi teguran2 lain yang bernada sama. Aku mencari segala pekeliling tentang akta berpakaian bagi kakitangan kerajaan. Tidak kutemui satupun tentang larangan berjubah bagi kakitangan wanita kecuali larangan berjubah bagi kakitangan lelaki lebih-lebih lagi bagi pegawai kerajaan negeri Terengganu, gara-gara politik yang menghalang kakitangan lelaki kerajaan negeri menyamai anggota parti pembangkang yang ramai berjubah ! Kerana politik rupa-rupanya.

Berikut adalah beberapa pekeliling yang mengeluarkan garis panduan berpakaian rasmi bagi pegawai kerajaan:
1. Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil 2, 1985 - Pakaian Masa bekerja Dan semasa Menghadiri
Upacara2 Rasmi Bagi Pegawai2 Awam.
2. S.P.Perkhidmatan Bil 1, 2006- Pakaian Alternatif Pada upacara rasmi.
3. S.P. Pekeliling Bil 1, 2008 - Kewajipan Berpakaian batik pada setiap Khamis bagi pegawai lelaki.
4. surat Ketua Pengarah Pendidikan Msia 7 jun 2001 - Larangan Berjubah /beserban bagi Pegawai lelaki. Digalak bertali leher.

Jadi aku membuat rumusan bahawa larangan berjubah bagi pegawai kerajaan wanita adalah sekadar hearsay. Seingat aku, semasa bertugas sebagai guru di Kolej Melayu Kuala Kangsar selama 9 tahun (1996-2004) dan 5 tahun bersama Ketua Pengarah Pelajaran Msia, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom yang menjadi Pengetua ketika itu, tidak pernah sekalipun menegur cara aku dan beberapa rakan sejawatan wanita yang berjubah walhal sebagai sekolah elite, etika dan protokol sangat menjadi keutamaan. Malahan kami juga menjadi penyambut tetamu dari kalangan pembesar2 negeri , negara dan antarabangsa. Masih ku ingat seorang pengetua sebuah sekolah di Ipoh secara explicit telah menerangkan kepada semua guru-guru semasa perhimpunan bahawa jubah hanya dilarang untuk guru lelaki sahaja tetapi dibenarkan bagi guru wanita. Andaikata jubah dilarang bagi kakitangan wanita, sudah pasti pakaian maternity juga turut dilarang. Sedangkan ini tidak berlaku.



Bertugas di MCKK 1996-2004. Tan sri Alimuddin Mohd Dom ketika memegang jawatan
sebagai Pengetua (99-03)

Sehingga hari ini aku masih tetap mempertahankan jubahku walaupun rakan2 seperjuangan yang berjubah dan bertudung labuh telah lama meninggalkan identiti tersebut. Walaupun kadang-kadang aku mula berjinak-jinak dengan baju kurung yang maseh mematuhi syariat, tetapi hati maseh terpaut dengan jubahku. Andaikata Ketua Unit Khidmat Pengurusan (KUKP) memanggil aku kerana menyatakan larangan berjubah beserta bukti surat Pekeliling yang menyatakan secara hitam putih larangan berjubah bagi pegawai wanita, tidak ada halangan aku akur kepada perintah am tersebut. Cumanya, jubah itu cukup istimewa bagi ku kerana telah membaluti dan mendindingi tubuhku selama 21 tahun !!

Jaminan Syurga

Diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dalam Sunannya, dari sahabat Abu Umamah al-Bahili dan berstatus sohih.



أنَا زَعِيمٌ بِبَيْتٍ فى رَبَضِ الْجَنَّةِ لِمَنْ تَرَكَ الْمِرَاءَ وَإنْ كان مُحِقًّا وَبِبَيْتٍ فى وَسَطِ الْجَنَّةِ لِمَنْ تَرَكَ الْكَذِبَ وَإنْ كان مَازِحًا وَبِبَيْتٍ فى أعْلَى الْجَنَّةِ لِمَنْ حَسَّنَ خُلُقَهُ

Aku menjamin sebuah rumah di bawah syurga bagi sesiapa yang dapat meninggalkan perdebatan sekalipun dia benar, dan sebuah rumah di tengah syurga bagi sesiapa yang dapat meninggalkan kata-kata dusta sekalipun gurauan, dan sebuah rumah di bahagian atas syurga bagi sesiapa yang baik akhlaknya.


Tazkeerah Ramadhan Dari Tok guru

Bersempena menyambut bulan Ramadhan al-Mubarak kali ini (1431H), maka seluruh kehidupan ini hendaklah mengambil pengajaran darinya. Antaranya mengambil ingatan sebaiknya kerana bulan Ramadhan merupakan bulan penurunan al-Qur an. Di antara sifat al-Quran ialah hudan linnas sepertimana firman Allah SWT:
"Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil). "
Surah al-Baqarah, ayat 185.

Puasa memenuhi fitrah manusia
Justeru, antara keberkatan utama bulan Ramadhan adalah difardhukan ibadat puasa sepertimana difardhukan ke atas umat terdahulu. Namun, puasa sebagaimana ibadat-ibadat lain juga merupakan keperluan bagi fitrah manusia. Jika sekalipun agama tidak mewajibkan puasa ini dilakukan, manusia sendiri tentunya akan mewajibkan ke atas dirinya untuk berpuasa kerana banyak manfaat daripadanya, termasuklah dari aspek kesihatan. Apatah lagi jika ia merupakan satu perintah daripada Allah SWT, maka lebih perlulah puasa ditunaikan sekalipun menempuhi sedikit kepayahan.
Salah satu manfaat besar puasa ialah dapat membukti sejauh mana tanda taat dan tunduknya manusia kepada tuhannya. Manusia selaku hamba Allah, sanggup bersusah payah (dengan berpuasa), demi membuktikan kepatuhan mereka. Sebagaimana kita bersusah payah untuk menjaga anak-anak kita yang kita sayangi, maka demikianlah kita mengutamakan ibadat sepanjang Ramadhan ini, sanggup kita bersusah payah demi Tuhan yang kita yakini.
Inilah sebab mengapa setiap amalan di dalam Islam perlu diasaskan kepada niat yang ikhlas. Niat yang ikhlas dalam erti kata lain melaksanakan amalan semata-mata kerana ia merupakan perintah Allah SWT. Bukan sahaja beribadat seperti solat dan puasa, bahkan berpolitik, berniaga, bersosial, berumahtangga semuanya kerana Allah SWT. Dari sinilah, hati kita perlu sentiasa diasuh untuk meyakini bahawa amalan yang dilakukan bukan kerana budaya turun temurun atau adat resam tetapi hanya kerana Allah SWT.
Manusia perlulah sentiasa yakin bahawa Allah SWT itulah yang bersifat dengan al-Khaliq (Yang Maha Mencipta), al-Baari (Yang Memberikan Kemampuan) dan al-Mushawwir (Yang Memberikan Bentuk). Keyakinan seperti ini membantu manusia untuk lebih meningkatkan amal ibadat kerana diyakini setiap amalan tersebut dinilai oleh Allah SWT yang menciptakannya. Keyakinan inilah juga yang akan mendorong manusia untuk berpuasa dengan sesungguh hati yang memenuhi tuntutan takwa kepada Allah SWT.
Ingatlah, hilangnya keyakinan terhadap Allah, maka akan hilanglah roh dari ibadat puasa tersebut. Hilangnya roh ibadat puasa itu, maka akan menghilangkan pula ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT kepada orang-orang yang berpuasa. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW :
"Betapa ramai orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan betapa ramai orang yang berqiyam tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya kecuali hanya berjaga malam."
Riwayat Ibnu Majah.
Semoga kita semua dapat memperbanyakkan amalan membaca al-Quran, bersedekah, qiyamullail dan sentiasalah berzikir mengingati Allah SWT di sepanjang Ramadhan. Malah, semua ini seharusnya sentiasa menjadi amalan rutin kita, bukan hanya ketika bulan Ramadhan. Harapan kita, agar bacaan al-Quran, sedekah, qiyam dan juga zikir yang kita amalkan sentiasa memandu kita di dalam mengurus tadbir hidup ini berpandukan al-Quran sebagai usaha kita memenuhi apa yang dikehendaki oleh Allah SWT. InsyaAllah, Ramadhan pada tahun ini jauh lebih baik dari Ramadhan pada tahun-tahun yang lepas.- Petikan dari Blogtokguru.
Bookmark and Share

Saturday, August 7, 2010

RAMADHAN AL-MUBARAK




Selamat datang Ramadhan Kareem, yang di awalnya pengampunanNya, di pertengahannya rahmatNya dan diakhirnya dijauhkanNya dari api neraka. Jadikanlah kami Ya Allah termasuk dalam golongan hamba-hambaMu yang rindu akan bulan Mu ini yang sentiasa berlumba-lumba mengimarahkan RamadhanMu dengan ibadah solat, sadaqah, amal maaruf serta tadarus AlQuran.Ya Allah jangan jadikan kami golongan hamba-hambaMu yang hanya mendapat lapar dan dahaga semata-mata. Yang Maha mendengarkan doa. Limpahkan kaseh rahmat serta pengampunanMu Allah kepada kami walaupun Lailatul Qadar itu tak mungkin kami yang penuh dosa ini menemuinya. Ameen Ya Rabbal alameen.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

terima kasih dariku...

Tajuk-tajuk saya

Menyentuh Hati-Peristiwa Almarhum Ustaz Fadhil Noor

Syuhada Chechen. Mereka telah memilih Syahid.