Baitullah : Rindu yang tak pernah padam

Baitullah : Rindu yang tak pernah padam
Baitullah : Rindu yang tak akan padam hingga ke akhirku...

Wednesday, August 18, 2010

Tazkeerah Ramadhan Dari Tok guru

Bersempena menyambut bulan Ramadhan al-Mubarak kali ini (1431H), maka seluruh kehidupan ini hendaklah mengambil pengajaran darinya. Antaranya mengambil ingatan sebaiknya kerana bulan Ramadhan merupakan bulan penurunan al-Qur an. Di antara sifat al-Quran ialah hudan linnas sepertimana firman Allah SWT:
"Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil). "
Surah al-Baqarah, ayat 185.

Puasa memenuhi fitrah manusia
Justeru, antara keberkatan utama bulan Ramadhan adalah difardhukan ibadat puasa sepertimana difardhukan ke atas umat terdahulu. Namun, puasa sebagaimana ibadat-ibadat lain juga merupakan keperluan bagi fitrah manusia. Jika sekalipun agama tidak mewajibkan puasa ini dilakukan, manusia sendiri tentunya akan mewajibkan ke atas dirinya untuk berpuasa kerana banyak manfaat daripadanya, termasuklah dari aspek kesihatan. Apatah lagi jika ia merupakan satu perintah daripada Allah SWT, maka lebih perlulah puasa ditunaikan sekalipun menempuhi sedikit kepayahan.
Salah satu manfaat besar puasa ialah dapat membukti sejauh mana tanda taat dan tunduknya manusia kepada tuhannya. Manusia selaku hamba Allah, sanggup bersusah payah (dengan berpuasa), demi membuktikan kepatuhan mereka. Sebagaimana kita bersusah payah untuk menjaga anak-anak kita yang kita sayangi, maka demikianlah kita mengutamakan ibadat sepanjang Ramadhan ini, sanggup kita bersusah payah demi Tuhan yang kita yakini.
Inilah sebab mengapa setiap amalan di dalam Islam perlu diasaskan kepada niat yang ikhlas. Niat yang ikhlas dalam erti kata lain melaksanakan amalan semata-mata kerana ia merupakan perintah Allah SWT. Bukan sahaja beribadat seperti solat dan puasa, bahkan berpolitik, berniaga, bersosial, berumahtangga semuanya kerana Allah SWT. Dari sinilah, hati kita perlu sentiasa diasuh untuk meyakini bahawa amalan yang dilakukan bukan kerana budaya turun temurun atau adat resam tetapi hanya kerana Allah SWT.
Manusia perlulah sentiasa yakin bahawa Allah SWT itulah yang bersifat dengan al-Khaliq (Yang Maha Mencipta), al-Baari (Yang Memberikan Kemampuan) dan al-Mushawwir (Yang Memberikan Bentuk). Keyakinan seperti ini membantu manusia untuk lebih meningkatkan amal ibadat kerana diyakini setiap amalan tersebut dinilai oleh Allah SWT yang menciptakannya. Keyakinan inilah juga yang akan mendorong manusia untuk berpuasa dengan sesungguh hati yang memenuhi tuntutan takwa kepada Allah SWT.
Ingatlah, hilangnya keyakinan terhadap Allah, maka akan hilanglah roh dari ibadat puasa tersebut. Hilangnya roh ibadat puasa itu, maka akan menghilangkan pula ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT kepada orang-orang yang berpuasa. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW :
"Betapa ramai orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan betapa ramai orang yang berqiyam tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya kecuali hanya berjaga malam."
Riwayat Ibnu Majah.
Semoga kita semua dapat memperbanyakkan amalan membaca al-Quran, bersedekah, qiyamullail dan sentiasalah berzikir mengingati Allah SWT di sepanjang Ramadhan. Malah, semua ini seharusnya sentiasa menjadi amalan rutin kita, bukan hanya ketika bulan Ramadhan. Harapan kita, agar bacaan al-Quran, sedekah, qiyam dan juga zikir yang kita amalkan sentiasa memandu kita di dalam mengurus tadbir hidup ini berpandukan al-Quran sebagai usaha kita memenuhi apa yang dikehendaki oleh Allah SWT. InsyaAllah, Ramadhan pada tahun ini jauh lebih baik dari Ramadhan pada tahun-tahun yang lepas.- Petikan dari Blogtokguru.
Bookmark and Share

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum pengunjung. Terima kasih atas semua komen-komen anda. Komenlah apa sahaja asalkan tidak tercatat dosa di dalam buku amalan anda(mencarut berdosa tau !).Terima kasih komen yg membina. Terima kasih juga komen yg menjatuhkan. Orang-orang hebat menjadi hebat setelah banyak kali bangun dari banyak kali kejatuhan. Akhirnya ia bangun dan tak jatuh-jatuh lagi.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

terima kasih dariku...

Tajuk-tajuk saya

Menyentuh Hati-Peristiwa Almarhum Ustaz Fadhil Noor

Syuhada Chechen. Mereka telah memilih Syahid.