Assalamualaikum penghuni alamaya yang mukmin dan mukminah. MasyaAllah. Hari ini penghulu segala hari. Jumaat yang berkah nan indah. Bersalawatlah kita tanpa putusnya buat junjungan besar kita Nabi Muhammad saw. Dan bersyukurlah kita kerana masih diberi kesempatan menumpang di bumiNya kerana kita sebenarnya diberi ruang dan peluang mengumpulkan saham-saham akhirat dan mencuci kotoran-kotoran dosa yang bertambun ini. Allah...
Amal ibadat tiada apa yang boleh dibanggakan, ilmu hanyalah sekadar tin kosong yang kuat berdenting, sadaqah jariah sekadar sekupang dua, kedekut nak mampus, lebih rela menghabiskan wang beratus-ratus ringgit untuk gajet, pakaian, perhiasan dan bermewah-mewah. Itulah kebanyakan kita...lebih-lebih lagi orang yang sedang menekan-nekan keypad keyboard ini. Tak perlulah meninjau-ninjau kuman disebarang sana. Ada lebih baik mengira-ngira segala amal buruk sendiri yang dikumpul setiap hari. Allah...
Ya..ingatan buat hamba. Sudah lama tidak berblog. Rindu. Tidak punya ruang untuk itu. Hanya membantu menyebarkan nasihat-nasihat iman yang dipost sahabat-sahabat maya moga adalah sedikit untuk dicatat malaikat Raqib di kitab ku. Copy paste bahan-bahan hanya memerlukan beberapa saat sahaja. Senang. Kalau untuk menghasilkan penulisan sendiri, agak kritikal disegi kelapangan masa.
Hari ini, agak lapang. Banyak tugas-tugasku dah selesai. Cuba menulis. Aktiviti yang terlalu lama ditinggalkan. Bakat menulisku tiada sekadar cukup makan, kalau diberi dalam bentuk peratusan. Agak-agak 50% markahnya. Alhamdulillah.
Semalam, Khamis berjanji dengan seorang pelajar atau menteeku yang lama tidak ketemu kerana dia menjalani latihan di lapangan, untuk keluar makan bersama-sama. Gadis comel itu manja dengan ku. Pelajar cemerlang, kaya dengan sakhsiah terpuji. Organized, work hard, work smart, focus, well planned dan amat bersopan.
"Yay! Xsbr nak jumpa..nanti nisa dtg jumpa ummi '' message yang kuterima dari beliau tengah hari semalam.
Maka bertemulah kami seperti yang dirancang. Keluar dari kampus bersama, aku yang memandu, menuju lokasi makan yang agak istimewa di sebuah IPTA berhampiran.
Pelajarku itu rajin bercerita...kisah rakan-rakan dan tempat menjalani latihan. Dari cerita-ceritanya yang sarat dengan kisah duka rakan-rakannya telah menyentuh hatiku. Bukan lagi tersentuh, malah terpukul .
Bicaranya teratur lembut satu persatu. Bicara yang penuh perasaan dengan maksud-maksud yang jelas. Satu persatu juga menusuk qalbunku. Beliau telah bercerita tentang rakan baik sekolahnya dulu.
"Ummi...rumahnya hanya bangsal buruk dibelakang tempat pembuangan sampah. Nak sampai ke rumahnya, kereta tak dapat masuk, kena berjalan kaki agak jauh. Saya datang beraya ke rumahnya. Itulah pertama kali saya sampai setelah berusaha mencari alamatnya dengan menyalin dari maklumat pelajar. Terkejut ummi saya melihat rumahnya. Tiada apa nak dihidangkan...hanya air kosong dengan gula..." Dia bercerita...aku sebak.
"kami sama-sama menangis. Saya bertanya dia kenapa tidak mahu menceritakan kesusahannya kepada saya rakan baiknya" terus lagi dia bercerita. " Bangsalnya hanya ada satu bilik. Dapur berlantai tanah. Disitulah tempat tidur, disitulah ruang solat, disitulah ruang belajar dan disitulah bertamu." Terangnya lagi.
Wajah tenang rakannya itu muncul dimataku, juga pelajarku beberapa semester yang lepas. Beliau adalah wakil kampus dalam beberapa bertandingan musabaqoh tilawah AlQuran peringkat seluruh institut. Subhanallah. Di zaman kebendaan dan serba canggih ini, masih wujud kedhaifan sebegitu rupa ? Ah ! Tidak cakna betul pensyarah ini kerana pada sangkaanku semua pelajar kampusku amat bertuah kerana mereka ditaja kerajaan sepenuhnya sehingga tamat pengajian.
"Ummi tau...dia menyimpan wang elaunnya. Dengan wang itu orangtuanya dapat membina rumah kecil dengan dua bilik yang lebih selesa...". Allahu rabbi. Terkedu mendengar cerita menteeku. Dengan elaun yang cukup-cukup makan itu dia berjaya membina 'istana' untuk kedua ibubapanya sedangkan dia masih belum bekerja. Bagaimana makan minum dan pakainya di kampus ? Tandatanya dari aku.
Barulah aku terperasan, pelajar yang dimaksudkan itu sangat-sangat bersederhana orangnya. Sebahagian pakaian yang dipakainya adalah dari sumbangan pakaian terpakai dari insan yang prihatin. Menteeku bercerita, ada kalanya baju-baju yang disumbangkan itu ada yang sudah berlubang ! Aku termalu sendiri memikirkan cara hidupku yang jauh berbeza.
Beruntunglah orangtuanya dan mereka juga orangtua yang hebat. Melahirkan dan berjaya mendidik anak yang beraqal dan tabah menghadapi kesusahan. Anak yang mengenang budi. Anak yang tidak mahu menyusahkan ibubapanya. Anak yang berdikari. Sedangkan aku yang punya ramai anak ini, berjayakah juga seperti kedua ibubapa pelajar itu? Termampukah aku menghasilkan anak-anak hebat seperti itu ? Belum terlihat buktinya lagi. Nampaknya, banyak yang perlu aku perbetulkan dalam mendidik anak-anak. Allah.....
Aku dan menteeku hanya menjamah kueh-kueh dan teh o sahaja kerana kami masing-masing sudahpun makan tengahari. Sekadar pertemuan untuk bual bicara tetapi amat bermakna buatku. Penuh hikmah penuh ibrah. Apa yang dapatku bantu untuk pelajar yang hebat itu? Hanya doa-doa sahaja. Semoga beliau terus ditunjukki Allah, dimudahkan segala urusannya, dimurahkan rezeqinya dan diampuni segala dosa-dosanya. Terima kasih menteeku kerana perkongsian ini......
No comments:
Post a Comment
Assalamualaikum pengunjung. Terima kasih atas semua komen-komen anda. Komenlah apa sahaja asalkan tidak tercatat dosa di dalam buku amalan anda(mencarut berdosa tau !).Terima kasih komen yg membina. Terima kasih juga komen yg menjatuhkan. Orang-orang hebat menjadi hebat setelah banyak kali bangun dari banyak kali kejatuhan. Akhirnya ia bangun dan tak jatuh-jatuh lagi.