Baitullah : Rindu yang tak pernah padam

Baitullah : Rindu yang tak pernah padam
Baitullah : Rindu yang tak akan padam hingga ke akhirku...

Monday, March 9, 2015

Tidak Ada Perbezaan Antara Solat Lelaki Dan Wanita

Image result for muslim women pray



"Sister. You stand in a wrong way. Open your feet please." Tegur seorang sister arab ketika aku qiam untuk memulakan takbir solat bersama imam. Ku renung kedua-dua kakiku. Rapat seperti biasa. Ku renung kaki sister-sister arab dan american muslimahs yang berada satu saf denganku. Mereka semua merenggangkan kaki. Ketika itu hanya aku sahaja Malaysian student yang bersolat di ruangan muslimah di Islamic Center, Carbondale itu. Ah. Masalah kecil. Tanpa banyak cakap aku pun mereggangkan kakiku seperti mereka. "Pray like our Prophet prays." Katanya lagi. Aku cuba juga berhujah kepadanya dalam masa sesingkat itu sebelum imam mengangkat takbir. "We are AsShafi'yyah. Women must close all their bodies while praying". Jelas ku. "It's wrong sister !! Pray like our Prophet prays!". Tegasnya lagi. Aku akur. Sejak itulah aku bersolat seperti solatnya seorang lelaki apabila aku yakin dengan hujah mak arab tu. Kerana selama ini aku sentiasa mendengar seruan Rasulullah s.a.w "BERSOLATLAH SEBAGAIMANA AKU BERSOLAT".

Itu citer 25 tahun lalu. Semasa belajar di luar negara. Maknanya selama 25 tahunlah aku bersolat berbeza dengan cara wanita Malaysia bersolat. Ah. Masalah kecil. Rapat atau renggang, ianya tidak merosakkan solat. Aku memang dah menduga, akan pasti ada yang menegur cara solatku. Kalau ditegur, aku akan merapatkan anggotaku. Terutamanya yang menegur itu ialah golongan tua. Tak der hal. Lebih baik berlapang dada. Bukan masalah wajib/rukun pun. Ketika melakukan umrah dan haji aku melihat ramai juga jemaah wanita yang bersolat seperti lelaki terutamanya jemaah wanita dari negara bukan nusantara Melayu.

Hari ini aku ditegur lagi."Kak..boleh tegur tak? Cara akak bersujud salah. Rapatkan tangan ke perut. Tak boleh direnggangkan.". Huhuhuhu... Alasannya memang biasa bagi kita. Kurang sopan kalau direnggangkan. Solat wanita tidak sama dengan solat lelaki. Arahan bersolat seperti Rasulullah s.a.w hanya ditujukan kepada lelaki, kata sahabat ku itu.

So aku pun buat study lah sedikit...x buat carian dengan sheikh google yer. Study kat library berjam-jam, berhari2 dengan cara bodoh aku la....

Menurut Imam As Syafie r.a dalam Bab: Merenggangkan Dua Tangan Pada Sujud, mukasurat 274, terjemahan kitab Al-Umm (Kitab Induk), Jilid 1, telah menyatakan;

Dikabarkan kepada kami oleh Ar Rabi', yang mengatakan: dikabarkan kepada kami oleh Sufyan bin 'Uyainah, dari Dawud bin Qis Al Farra', dari 'Ubaidillah bin Abdullah Aqram Al-khuza'i dari ayahnya yang mengatakan ;
"Saya melihat Rasulullah s.a.w di Al-Qa' dari daerah  Namirah atau An Namirah (ragu Ar Rabi'), sedang sujud. Lalu saya melihat putih kedua ketiaknya". 


Begitulah saya ( saya disini bermaksud Al Imam AsShafie ) menyukai orang yang bersujud, bahawa ia itu bertakhwiyah. Takhwiyah itu, bahawa dia mengangkat dadanya dari dua pahanya. Dan bahawa dia merenggangkan dua sikunya dan dua lengannya dari dua lembungnya. Sehingga apabila tidak ada padanya yang menutupkan bahagian bawah dua bahunya, niscaya terlihatlah warna kedua ketiaknya. Tidak ia mempertemukan salah satu dua lututnya dengan yang lain. Ia merenggangkan ke dua kakinya. Ia meninggikan punggungnya dan tidak membungkuk. Akan tetapi ditinggikannya, sebagaimana saya terangkan, dengan tidak sengaja meninggilah tengahnya dari yang bagian bawah dan atasnya.


Allah Ta'ala telah memberikan pengajaran budi pekerti kepada kaum wanita dengan menutupkan dirinya. Dan Rasulullah saw memberi pengajaran pula kepada kaum wanita, dengan yang demikian.

Saya memandang sunat bagi wanita pada sujud, bahawa ia merapatkan sebahagian badannya dengan sebahagian yang lain. Ia mempertemukan perutnya dengan dua pahanya. Ia sujud dengan yang lebih tertutup bagi yang ada padanya.

Begitu juga saya lebih menyukai bagi wanita pada rukuk, duduk dan semua perbuatan solat, bahawa dia berada keadaan yang lebih tertutup. Saya menyukai bahawa tidak tetap baju kurungnya dan dijarangkan waktu ia rukuk dan sujud, supaya pakaiannya itu tidak membayangkan bentuknya. Semua yang telah saya terangkan itu, adalah merupakan pilihan bagi kaum pria dan wanita. Bagaimanapun keduanya itu mengerjakan pada sujud dan rukuk, niscaya memadai, apabila tidak terbuka sesuatu dari pada keduanya.

As Shafie ra menjadikan pokok dalam memahami hukum, ialah Al Quran dan As Sunnah. Kalau terjadi suatu peristiwa, yang tidak ada dalil dari yang dua ini, maka beliau menggunakan qias (analogi) .Dalam masalah solat antara lelaki dan wanita , As Shafie telah menggariskan perbezaan cara keduanya pada semua perbuatan solat. Beliau tidak menyandarkan hujah beliau dengan sebarang ayat Al Quran atau hadith2 sohih, tetapi lebih kepada qias "pengajaran budi pekerti kepada kaum wanita dengan menutupkan dirinya" dari Allah Ta'ala dan Rasulullah s.a.w.

Manakala dalam kitab Manhaj Fiqh As Syafie, Jilid 1 oleh Dr Mustafa Al Khin, Dr Mustafa Al Bugha dan "Ali Al Syarbaji pada muka surat 319, telah mengemukakan dalil perbezaan ini dari sebuah hadith riwayat al-Baihaqi (2/223). Kitab tersebut menerangkan;

Walau bagaimanapun cara sujud perempuan berbeza daripada cara sujud lelaki. Perempuan ketika sujud hendaklah merapatkan anggota-anggotanya antara satu dengan yang lain. Hal ini berdasarkan hadith yang bermaksud, Rasulullah saw berjalan berhampiran dua orang perempuan yang bersolat lalu Baginda bersabda, "Apabila kamu sujud rapatkanlah sebahagian badan ke lantai kerana orang perempuan tidak sama cara sujudnya sebagaimana orang lelaki." Riwayat al-Baihaqi (2/223).

Namun dalam kitab terjemahan Sifat Solat Nabi yang ditulis oleh ulama fiqh kotemporari abad 20, Sheikh Muhammad Nashiruddin Al Bani yang disemak oleh Dr Mohd Puzhi Usop dan Muhammad Sabri Sahrir, pada muka surat 219;

Segala yang telah diterangkan tentang gambaran solat Nabi s.a.w, berlaku bagi kaum lelaki dan wanita. Tidak ada sunnah yang mengecualikan kaum wanita dari kaum lelaki di dalam melakukan sebahagian dari itu. Bahkan keumuman sabda Rasulullah yang berbunyi :
"Bersolatlah kamu sekelian sebagaimana kamu sekelian melihat aku bersolat."
 Adalah mencakupi kaum wanita . Ini sebagaimana yang dikatakan oleh Ibrahim An Nakha'i:
" Di dalam solat, wanita melakukan seperti yang dilakukan oleh lelaki".
Perkataan ini dikeluarkan oleh Ibnu Abi Syaibah (1/75/2) dengan sanad yang sahih darinya.

Sedangkan hadith yang menerangkan bahawa wanita menghimpitkan tangannya pada waktu sujud (hadith riwayat al-Baihaqi 2/223 di atas), yakni tidak seperti apa yang dilakukan lelaki, adalah hadith mursal dan tidak benar. Sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Abu Daud di dalam Al Marasil dari Yazid bin Abi Habib.

Adapun hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad didalam Masa'ili Abdillah (p.713 yakni puteranya, yang diterima darinya dan dari Ibnu Umar, yang mengatakan bahawaRasulullah s.a.w pernah memerintahkan kepada isteri-isterinya untuk duduk bersila di dalam solat, isnadnya tidak benar. Di dalamnya terdapat Abdullah bin Umar Al Umari. Sedangkan dia adalah orang yang dhaif (lemah).

Di dalam At Tarikh 'as-Saghir (p.95), Al Bukhari telah meriwayatkan dengan sanad yang sahih dari Ummi ad Darda'i;
"Bahawasanya dia (Ummu ArDada'i) duduk didalam solatnya seperti duduknya lelaki. Sedangkan dia adalah seorang wanita yang faqihah."



Persamaan solat lelaki dan wanita juga telah ditegaskan dalam Fatwa Panduan Solat : Dari Takbiratulihram Sehingga Salam oleh Abu Ruwais Al-Syubrawi , muka surat 126-131 dalam bentuk soal-jawab kemusyikilan tentang solat;

SOALAN : Apakah cara duduk yang betul ketika solat? Apakah pula perbezaan antara duduk lelaki dan wanita ?

JAWAPAN : Cara solat bagi wanita adalah sama dengan lelaki. Tidak ada perbezaan antara mereka sama ada ketika sujud, duduk dan sebagainya. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w yang memerintahkan agar solat seperti baginda. Hadith ini berbentuk umum dan merangkumi lelaki dan wanita.

(kemudian memetik kenyataan Syeikh Albani seperti di atas).

Dalam hadith yang berbentuk umum juga, Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:
"kaum wanita adalah saudara kembar bagi lelaki". hadith riwayat Abu Daud 204, al-Tirmizi:105 daripada hadith Aisyah. Manakala al-Darimi :764 daripada hadith Anas. 

Al-'Ajluni r.h berkata:
"Ibn al-Qattan r.h berkata bahawa hadith riwayat Aisyah di atas adalah dhaif, sedangkan riwayat Anas pula sahih ".(Rujuk Kasyf al-Khafa", jil.1, muka surat 248).

Al-Khattabi r.h berkata:
"Dalam memahami hadith, kebiasaanya apabila terdapat satu perintah yang ditujukan kepada kaum lelaki, ia juga merangkumi wanita kecuali jika ada dalil yang khusus kepada kaum wanita."
Sebahagian ulama berkata bahawa wanita tidak boleh duduk seperti lelaki. Hal ini berdasarkan dua hadith dhaif dan kedua-duanya tidak boleh dijadikan hujah.

(Hadith pertama telah dinyatakan di atas). Hadith kedua, menurut Abu Muti' al Hakam bin Abdullah al-Balkhi, Umar bin Dzar pernah mendengar Mujahid meriwayatkan daripada Abdullah bin Umar bahawa beliau berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda;
"Apabila seorang wanita duduk dalam solat, kemudian meletakkan pahanya di atas paha yang sebelahnya. Apabila sujud, dia merapatkan perutnya kepada kedua-dua pahanya seperti lazimnya dia menutup dirinya. Allah berkata :Wahai malaikatKu, saksikanlah sesungguhnya AKU telah mengampuni dosa-dosa wanita itu". Hadith riwayat Al Baihaqi.

Hadith ini dhaif kerana di dalam sanadnya terdapat seorang perawi yang bernama Abu Muti' al-Balkhi.

Ibn Hajar r.h berkata: 
"Ibn Ma'in berkata bahawa hadith ini tidak boleh dikira sebagai hujah. Dalam masa yang lain pula, beliau berkata bahawa hadith ini dhaif. Al Bukhari juga sependapat dengan beliau dan menambah bahawa perawinya merupakan seorang ahli Ra'yi. Demikian juga komen al-Nasai'"(Rujuk Lisan Al Mizan, jil.2, muka surat 334)

Ibn "Adi r.h berkata:
"Abu Muti' adalah seorang yang amat dhaif dalam kesemua hadithnya dan kebanyakkannya tidak boleh dijadikan hujah". (Rujuk al-kamil fi Dhu'afa' alRijal, jil.2, muka surat 214)

Yazid bin Abu Habib berkata bahawa Rasulullah s.a.w pernah melewati dua orang wanita yang sedang mengerjakan solat. Kemudian baginda bersabda:
"Ketika kamu sujud, rapatkanlah sebahagian anggota ke tanah. Dalam keadaan itu, wanita tidak sama kaum lelaki". Hadith riwayat Abu Daud dan al-Baihaqi.
Hadith di atas adalah mursal dan termasuk dalam hadith dhaif.

Ibn Abi Syaibah telah menyebutkan beberapa athar daripada sebahagian ulama salaf mengenai perbezaan duduk antara lelaki dan wanita. Hujahnya berdasarkan firman Allah dan sabda Rasulullah s.a.w. Kemudian, beliau menyebut daripada sebahagian ulama salaf yang lain bahawa cara mengerjakan solat bagi lelaki dan wanita adalah sama. (Rujuk al-Mushannaf, Jil.1, muka surat 242).

Al-Bukhari r.h berkata:
"Ummu al-Dardai' pernah duduk dalam solatnya sama seperti cara duduknya kaum lelaki. Beliau adalah seorang wanita yang faham tentang agama".

Di dalam kitab Fath al-Bari, Al-Hafiz Ibn Hajar, menyebut bahawa Abu Al-Darda' memiliki dua orang isteri. Kedua-duanya dipanggil Ummu al-Dardai'. Isteri pertamanya merupakan seorang sahabat, manakala isteri keduanya pula seorang tabi'in. Al Hafiz menyebut bahawa Ummu al-Dardai' yang dimaksudkan oleh al Bukhari ialah isteri mudanya, iaitu tabi'in.

SOALAN : Adakah perbezaan antara sujud lelaki dan wanita?
JAWAPAN : Ada sebahgian ulama berpendapat bahawa cara melaksanakan solat antara lelaki dan wanita berbeza. Mereka mengemukakan banyak hadith untuk menyokong pendapat itu. Tetapi semua hadith itu dhaif dan tidak boleh dijadikan hujah.

Syeikh Muhammad bin Soleh al-'Uthaimin mengemukakan hujahnya menolak hal ini. Menurutnya, kenyataan bahawa wanita tidak boleh merenggangkan tubuhnya di dalam solat sebaliknya ia hendaklah dirapatkan, boleh disanggah dalam beberapa aspek iaitu;

1. Alasan yang dikemukan tidak dapat menolak kekuatan nas yang menyatakan bahawa wanita dan lelaki adalah sama dari segi mengamalkan hukum. Lebih-lebih lagi Rasulullah s.a.w pernah menyuruh semua umat islam mendirikan solat seperti baginda mendirikannya. Perintah ini berbentuk umum, merangkumi lelaki dan wanita.

2.  Kenyataan di atas boleh dibatalkan ketika seorang wanita mengerjakan solat bersendirian. Wanita dituntut mengerjakan solat bersendirian di rumahnya tanpa kehadiran kaum lelaki. Ketika itu, dia tidak perlu merapatkan tubuhnya kerana tidak dilihat oleh lelaki.

3.  Mereka mengatakan bahawa wanita mesti mengangkat kedua-dua belah tangan ketika bertakbir. Sedangkan perbuatan itu lebih memalukan berbanding merenggangkan tubuh.

Pendapat yang tepat, wanita boleh melakukan setiap perkara yang dilakukan oleh lelaki di dalam solat. Dia mesti menggangkat tangan dan merenggangkan anggota tubuhnya. Dia mesti meluruskan tulang belakang ketika rukuk dan menjauhkan sedikit perut daripada kedua-dua belah pehanya. Begitu juga meninggikan kedua-dua belah peha daripada kedua lutut ketika sujud. Dia juga perlu bersimpuh di atas kaki kiri (iftirasy) ketika tahiyat awal dan bersimpuh di atas lantai (tawarruk) ketika tahiyat akhir. (Rujuk al-Syarh al-Mumti', jil.3, muka surat 303-304).

(Memetik kata-kata Albani seperti dinyatakan sebelum ini).

Jika seorang wanita mengerjakan solat di tempat yang boleh disaksikan oleh kaum lelaki seperti di masjidilharam atau di tempat awam kerana terdesak, dia hanya perlu menjaga auratnya agar tidak terbuka, bukan merapatkan anggotanya.

Sekian makluman. Ana bukan wahhabi. Tak tau apa itu wahabi. Ana AsSyafi'yyah dengan hujah yang sohih.


Rujukan;
1. Sahih Bukhari
2. Sahih Muslim
3. Kitab Induk Al Umm Immam Syafie, Jilid 1
4. Fikh solat, zikir. Kitab  Hadith dr hasbi Siddiqui
5. Manhaj Fiqh Al Syafi'i
6. Fatwa Panduan Solat, Abu Ruwaib Al-Syubrawi
7. Sifat Solat Nabi s.a.w, Syeikh M. Albani
8. Fiqh Perundangan Islam Wahbah al Zuhaili
9. Kesalahan-kesalahan Orang Yang Bersolat, Abu Ubaidillah Masyhur.




LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

terima kasih dariku...

Tajuk-tajuk saya

Menyentuh Hati-Peristiwa Almarhum Ustaz Fadhil Noor

Syuhada Chechen. Mereka telah memilih Syahid.