Baitullah : Rindu yang tak pernah padam

Baitullah : Rindu yang tak pernah padam
Baitullah : Rindu yang tak akan padam hingga ke akhirku...
Showing posts with label Rasulullah. Show all posts
Showing posts with label Rasulullah. Show all posts

Sunday, September 23, 2012

Kita Kasihkan Rasulullah Tetapi Rasulullah Lebih Kasihkan Kita Ummatnya.




Pada suatu ketika, Rasulullah mengimami solat seperti biasa. Di belakang Baginda, para sahabat yang setia dan amat mengasihi Baginda. Tetapi solat Baginda kali ini agak aneh daripada biasa sehingga para sahabat yang menjadi makmum menjadi kehairanan.

Pada setiap kali Rasulullah bergerak ke setiap rukun solat, para sahabat terdengar bunyi menggerutup seolah-olah sendi-sendi Baginda berlaga antara satu dengan yang lain. Apa Baginda dalam kesakitan pada sendi-sendi dan tulang-tulang Baginda ? Para sahabat tertanya-tanya di dalam diri masing-masing.

Seperti biasa, Sayyidina Umar lah yang menjadi orang yang paling tidak keruan dikalangan para makmum. Seusai solat, Sayyidina Umar segera bertanya kerana keperihatinannya yang tiada berbelah-bahagi terhadap susuk tubuh mulia itu.

"Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan menanggung penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah ya Rasulullah?"
" Tidak ya Umar. Alhamdulillah aku sihat dan segar. Tutur Rasulullah penuh kasih sayang.
" Ya Rasulullah...mengapa setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi bergeselan antara satu dengan yang lain di tubuh tuan ? Kami yakin tuan mungkin sedang sakit." desak Umar dengan cemas dan bersungguh-sungguh.

Tanpa jawapan seterusnya, Rasululullah terus mengangkat jubahnya. Terkejutlah sekelian para sahabat. Sekelian yang ada menjadi terharu.
Perut Baginda yang kempis, diikat dengan kain berisi kerikil-kerikil kecil buat menahan lapar. Batu-batu kerikil itulah yang berbunyi setiap kali Rasulullah membuat pergerakan.

"Ya Rasulullah! Adakah bila tuan menyatakan lapar dan tidak punya makanan kami tidak akan mendapatkannya buat tuan?". Umar bertanya penuh pilu. Lalu baginda menjawab dengan lembut, "Tidak para sahabatku. Aku tahu, apa pun akan engkau korbankan demi Rasulmu. Tetapi apakah akan aku jawab di hadapan ALLAH nanti, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban kepada umatnya?"

"Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah ALLAH buatku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di dunia ini lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di Akhirat kelak."


Allahumma solli 'ala Muhammad wa'ala aalihi wa sohbihi wasallam.

Monday, August 20, 2012

Kisah Rasulullah Dan Pengemis Buta




Di sudut pasar Madinah Al-Munawarah seorang pengemis Yahudi buta hari demi hari apabila ada orang yang mendekatinya ia selalu berkata "Wahai saudaraku jangan dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kalian mendekatinya kalian akan dipengaruhinya". Setiap pagi Rasulullah s.a.w. mendatanginya dengan membawa maka
nan, dan tanpa berkata sepatah kata pun Rasulullah s.a.w. menyuap makanan yang dibawanya kepada pengemis itu walaupun pengemis itu selalu berpesan agar tidak mendekati orang yang bernama Muhammad. Rasulullah s.a.w melakukannya hingga menjelang Nabi Muhammad s.a.w. wafat. Setelah kewafatan Rasulullah s.a.w. tidak ada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis Yahudi buta itu. 

Suatu hari Abubakar r.a berkunjung ke rumah anaknya Aisyah r.ha. Beliau bertanya kepada anaknya, "Anakku adakah sunnah kekasihku yang belum aku kerjakan", Aisyah r.ha menjawab pertanyaan ayahnya, "Wahai ayah engkau adalah seorang ahli sunnah hampir tidak ada satu sunnah pun yang belum ayah lakukan kecuali satu sunnah saja". "Apakah itu?", tanya Abubakar r.a. Setiap pagi Rasulullah s.a.w. selalu pergi ke ujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi buta yang berada di sana", kata Aisyah r.ha. 

Ke esokan harinya Abubakar r.a. pergi ke pasar dengan membawa makanan untuk diberikannya kepada pengemis itu. Abubakar r.a mendatangi pengemis itu dan memberikan makanan itu kepada nya. Ketika Abubakar r.a. mulai menyuapinya, si pengemis marah sambil berteriak, "Siapakah kamu ?". Abubakar r.a menjawab, "Aku orang yang biasa". "Bukan !, engkau bukan orang yang biasa mendatangiku", jawab si pengemis buta itu. Apabila ia datang kepadaku tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapiku, tapi terlebih dahulu dihaluskannya makanan tersebut dengan mulutnya setelah itu ia berikan pada ku dengan mulutnya sendiri", pengemis itu melanjutkan perkataannya. 

Abubakar r.a. tidak dapat menahan air matanya, ia menangis sambil berkata kepada pengemis itu, aku memang bukan orang yang biasa datang pada mu, aku adalah salah seorang dari sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada. Ia adalah Muhammad Rasulullah s.a.w. Setelah pengemis itu mendengar cerita Abubakar r.a. ia pun menangis dan kemudian berkata, benarkah demikian?, selama ini aku selalu menghinanya, memfitnahnya, ia tidak pernah memarahiku sedikitpun, ia mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi, ia begitu mulia.... Pengemis Yahudi buta tersebut akhirnya bersyahadat dihadapan Abubakar r.a

Sumber : http://ahmadraje.blogspot.com/2012/07/rasulullah-dan-pengemis-yahudi-buta.html

Saturday, February 4, 2012

Muhammad Manusia Agung


Muhammad (SAW) Ibn Abdullah adalah Rasul dan Nabi Pilihan. Rasul Terakhir kepada manusia ini merupakan ciptaan Allah yang Maha Agung.Kehebatan Muhammad (SAW) terserlah dalam semua semua aspek, suatu yang tidak perlu dipertikaikan. Baginda dipilih di kalangan manusia kerana baginda adalah Nabi dari segi teori dan praktikal kehidupan manusia dalam segenap kehidupan. Adab akhlaknya dibentuk dan diprogramkan sempurna sebagai makhluk oleh Allah Taala dari kecil sehinggalah ke tempoh kewafatannya.

Baginda adalah nabi yang berkahwin, makan, minum dan tinggal di kediamannya. Namun kadar yang dinikmati oleh Rasulullah SAW adalah kadar paling sederhana dan berhemat yang menunjukkan gaya hidup dan kondisi pemimpin yang dihormati bukan kerana kemewahannya untuk diri tetapi banyak disumbangkan untuk keperluan dan kepentingan ummat, sekaligus keluarga dan para sahabatnya.


Baginda memulakan hidup berkelamin di usia 25 tahun dan mengamalkan monogami selama 27 tahun bersama wanita yang paling mulia yang dicintainya sepenuh hati iaitulah Ummul Mukminin, Saiyidatina Khadijah r.a.  Setelah kewafatan Khadijah, dan baginda saw berhijrah, baginda beristeri dengan beberapa orang wanita yang kemudiannya digelar Ummahatul Mukminin.

Terpanggil dengan kontroversi terbaru oleh OWC tentang penonjolan Rasulullah saw sebagai “Ikon Seks Suci”,  saya merasa amat prihatin untuk mengulas dengan pendidikan berumahtangga yang disaran oleh Rasulullah saw. Mengapa ada yang tergamak untuk meletak  slogan dan label sedemikian? Adakah dengan tidak memberikan anugerah ini berkurangnya kehebatan Rasulullah saw dari aspek perkahwinan? Apa justifikasi mereka untuk berkata demikian?

Banyak sudut yang boleh diulas dengan Qudwah (Contoh) Rasulullah saw dlm memimpin isteri-isteri dan anak menantunya. Pelbagai etika dan adab yang perlu diikuti oleh orang yang telah ditakdirkan sampai jodoh dan ada yang menjalani kehidupan berkeluarga sebagai anak dan adik beradik. 

Kita pada hari ini walaupun hanya memiliki dan melayan seorang isteripun GAGAL untuk solat sunat dan puasa sunat. Puasa wajib pun sekadar cukup tinggal makan minum sahaja. Kita sering alpa dan tidak ada kekuatan untuk bangun bertahajjud dan qiyamullail. Kita jarang bahkan mungkin tidak pernah berkhulwah selama sebulan. Kita tidak rajin untuk bertaddarus dan beriktikaf 10 akhir Ramadhan.

Kita culas untuk solat berjamaah apatah lagi memimpin solat setiap waktu dan selalu tidak upaya lekat wudhu'. Kita tidak pernah dapat aduan ada suami hari ini yang solat sehingga bengkak kakinya dan yang bersedekah sehingga dia dan keluarganya tidak punya apa untuk dimakan. Kita juga makan daging dan lauk sehingga kini sering sakit dengan pelbagai macam penyakit kerana terlebih makan!

Nah, Nabi saw berpesan bahawa antara ciri solehahnya isteri itu bilamana dia amanah dalam merahsiakan hal ehwal dalaman dan tempat tidur suaminya. Soal hubungan kelamin tidak pernah menjadi tajuk awam dalam perbicaraan Rasulullah saw kerana baginda memuliakan perkahwinan dan soal intimasi suami isteri adalah hak peribadi yang dilindungi dan difahami.

Majoriti hadith berkait dengan soal kekeluargaan menyentuh santunnya Rasulullah saw melayan anak isterinya dalam semua tahap dan keadaan. Sabarnya ketika meleraikan konflik isteri kesayangan, Aisyah r.a yang difitnah jijik. Psikologi dan diplomasi baginda ketika mendamaikan isteri-isteri akibat cemburu merebut kasih sayangnya.
Hebatnya isteri kerana bukan setakat boleh berkorban makan tapi berkorban giliran. Giliran bersama isteri juga banyak dihabiskan dengan mereka turut serta dalam medan peperangan dan dakwah.

Hadith yang diriwayatkan oleh Aisyah ra.,Maimunah r.a, Hafsah r.a, Juwairiyyah r.a,Sofiyyah r.a dan Ummu Salamah semuanya menjurus ke arah tegarnya komitmen Rasulullah saw terhadap ibadat dalam kehidupan malamnya. Tidak berbuat apapun baginda saw melainkan ianya atas tujuan ibadat hatta untuk bersama isterinya.
Baginda saw berjaya mendidik isteri-isterinya yang baru memeluk Islam untuk turut berqiyamullail dan beriktikaf bersamanya. Ada baiknya untuk kita ketahui bahawa bila beramal seumpama itu di waktu malam ianya mesti dalam keadaan berwudhu' dan tak pernah alpa dan asyik dengan aktiviti badaniah dan seksual yang boleh memenatkan dan merencatkan amalan qiyamullail akibat keletihan.

Makanan ruji dan sajian  Rasulullah saw adalah amat ringkas dan mudah. Baginda tidak mengambil vitamin dan pelbagai “pil penguat” kerana Islam mengajar hubungan suami isteri di bilik tidur adalah sebahagian proses untuk mendapatkan zuriat yang soleh bukan atas landasan melampiaskan nafsu yang sentiasa berkobar. Klimaks kemesraan dan kemanjaan bertempat dan sahih serta terhormat antara lelaki dan wanita menyebabkan semua sahabat berlumba untuk berkahwin.
Banyak masa siangnya dihabiskan di luar rumah sebagai “hablun minannas” dan masa malamnya digunakan untuk mengabdi diri dengan meningkatkan hubungan “hablun minaLlah”

Jadi, adalah kurang molek dan mencemar fokus kalau ketaatan isteri dan kecintaan suami itu ditumpukan pada aspek seksual yang lebih bersifat fizikal dan sementara.

Mengatur dan meletakkan had dan aras dalam hubungan kelamin adalah wajar dan perlu dalam Islam kerana andai tidak dijelaskan manusia mungkin meniru gaya dan kekerapan binatang dan haiwan dalam melakukan hubungan jenis. Seks adalah perkara fitrah tetapi ia harus dipupuk supaya ia menjadi hubungan suci lagi murni bukan keperluan hakiki yang wajib dinikmati setiap ketika atas alasan kerana telah bernikah.

Suami isteri yang tua lagi uzur, mereka masih mempunyai cukup ruang untuk meluahkan kasih sayang dengan sifat mawaddah, ihsan dan rahmah sehingga wujud sakinah dalam rumahtangga dan kehidupan. Organ seks bukanlah kemuncak alat dalam kehidupan yang perlu diagungkan dan manusia yang tidak memilikinya serta menikmatinya dianggap kurang dan tidak sempurna!

Manusia itu sempurna dengan minda, badan, emosi dan spiritual yang sihat dan cerdas. Nabi Isa a.s dan ibunya maryam tidak pernah berkahwin tetapi terbukti mereka masing-masing adalah Rasul Ulul Azmi dan antara 4 perempuan yang paling mulia dalam Islam. Mereka tetap Idola kita sebagai umat Islam. Imam Nawawi juga tidak sempat berkahwin tetapi hadith arbain susunannya tetap unggul dan bermakna untuk kelangsungan ummah.


Berkahwin adalah sunnah Rasulullah saw dan menjalani dan mengurus isteri dan rumahtangga adalah cabaran besar dan rutin yang menuntut ilmu dan hikmah sepanjang masa bukan hanya seks. Aktiviti seks mungkin memakan tempoh 30 minit dalam seminggu atau dalam tempoh 3 bulan jadi adalah tidak munasabah kalau ukuran kehebatan Islam itu diukur dan dilabel dengan fokus itu dan ke situ! Seolah kita juga kini terjerumus dan menjerumuskan masyarakat ke dalam minda “hanya kepuasan seks” segala-galanya.

24 jam bersama suami dan 30 tahun berumahtangga memerlukan kesyumulan contoh dari Rasulullah saw melayari kehidupan. Bukan terhenti atau terikat dengan aktiviti seksual semata. Rasulullah saw diangkat menjadi nabi ketika usianya menjangkau 40 tahun dan mempunyai had masa 23 tahun untuk menyampaikan dan menyempurnakan keseluruhan aspek sosial,politik dan ekonomi Islam yang diwariskan kepada ummat sehingga qiamat.

Piawaian lelaki dan manusia terbaik di kalangan semua ummat adalah lelaki yang paling baik layanan dan penghormatan kepada isteri dan keluarganya. Islam bukan agama hipokrit dan bermotif dengan menyayangi isteri dan anak  kerana pulangan khidmat dan balasan seksual dan fizikal tetapi kerana itu adalah hak dan hudud yang ditetapkan oleh Allah swt.

Rasulullah saw pengangkat martabat wanita dan lelaki serta anak-anak dengan setinggi-tingginya dengan penganugerahan hak layanan, penghormatan nasab, harta,nafkah dan pusaka dengan sepatah kata "aku terima nikahnya".
Saya yakin dan saya percaya ramai lagi di luar sana yang menyanjung dan ingin mengamalkan sunnah kehidupan berkeluarga Rasulullah saw yang syumul dan lebih banyak dibuat oleh baginda di luar bilik tidur.

Maka, marilah kita  berselawat ke  atas  junjungan  besar  Rasulullah  saw   kerana kemuliaannya , jasa pengorbanannya dan sopannya menghargai wanita dan keluarga sebagai manusia yang punya hak dan kemahuan bukan objek seks sebagaimana kefahaman barat mengenai wanita. Janganlah kita terperangkap dan terjerat oleh kehendak dan fahaman mereka mengenai rumahtangga dan perkahwinan.
Berkahwin itu adalah proses yang lebih mulia dan jangka panjang untuk ummah sifatnya dan antara dua keluarga dan masyarakat bukan berobjektifkan ketaatan fizikal individu dan penyerahan tubuh semata mata.
Percayalah, apapun aktiviti kita semuanya adalah untuk beribadah dan menggambarkan kehambaan kita kepada yang Maha Pencipta.

Allahumma solli 'ala Muhammad wa 'ala alihi wasahbihi ajmain.


MUMTAZ MD. NAWI
Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat
Pengamal Undang-Undang Sivil dan Syarie



Sunday, October 10, 2010

Indahnya Peribadi Rasulullah saw


Peribadi Rasulullah terlalu indah dan tiada bandingannya

Assalamualaikum pengunjung budiman. Bertanyalah lagi cucunda Rasulullah Al-Hassan kepada bapa saudaranya Hindun bin Abu Halah. " Sifatkanlah kepadaku kebiasaan Rasulullah". Hindun pun berkata;
    " Rasulullah saw senantiasa di dalam kesedihan yang berpanjangan, senantiasa berfikir, beliau tidak mempunyai kerehatanpun, tidak bercakap melainkan perlu, diam yang berpanjangan, memulakan dan menyudahkan percakapannya dengan menutup mulut sepenuhnya, bercakap-cakap dengan kalimah-kalimah yang ringkas tetapi mempunyai makna dan hikmah yang mendalam, perbicaraannya jelas tanpa berlebihan mahupun  berkurangan, budi bahasanya lembut tidak rakus mahupun menghinakan, sentiasa membesar-besarkan nikmat walaupun sedikit, baginda tidak mencerca apa-apapun darinya walaupun memujinya. tidak bertindak disebabkan kemarahannya. Jika kebenaran dicabar, baginda akan menjadi teramat marah sehingga tiada seorangpun yang dapat mengawal kemarahannya. Baginda saw tidak pernah marah lantaran sesuatu yang berkaitan dengan kepentingan dirinya, begitu juga tidak meminta tolong  dari sesiapa untuk yang demikian, Jika baginda  menunjuki sesuatu  atau memberi isyarat kearah sesuatu  beliau akan  menunjuki dengan keseluruhan tapak tangannya. Apabila baginda merasa takjub ataupun kehairanan beliau akan membalikkan tapak tangannya. Apabila beliau sedang berbicara, selalu baginda memukul-mukulkan tapak tangan kanannya kepada ibu jari  tangan kirinya. Apabila baginda marah, beliau akan  berpaling secara keseluruhannya dari kemarahan tersebut ataupun dari punca yang menyebabkan kemarahannya. Apabila bergembira baginda sering tersenyum. Senyuman baginda menawan seumpama embun yang dingin dipagi hari.".

Subhanallah. Allahhumma salli 'ala Muhammad wa'ala aalihi wasohbihi wasallam.

Saturday, October 9, 2010

Rupa Fizikal Rasulullah SAW


Wajah baginda lebih berseri daripada bulan purnama


Assalamualaikum pengunjung budiman. Daripada cucunda Rasulullah saw Al-Hassan Bin Ali Bin Abu Thalib, katanya " Aku telah bertanya kepada bapa saudaraku Hindun Bin Abu Halah yang amat bijak dalam mensifatkan tentang peribadi Rasulullah saw dan aku terlalu ghairah supaya ia menceritakan kepadaku perihal sifat-sifat nabi saw untuk diingati. Beliau berkata ;
      RASULULLAH seorang yang agung dan yang diagung-agungkan,
 1. wajahnya bercahaya-cahaya dan berseri-seri seperti bulan purnama (Jabir pula telah meriwayatkan bahawa pada suatu ketika semasa malam bulan purnama terang-benderang, beliau melihat kepada wajah Rasulullah dan juga melihat ke arah bulan, dan mengikut pandangannya wajah Rasulullah terlebih cantik dan berseri daripada bulan dan cahayanya).
 2. lebih tinggi daripada orang yang rendah dan lebih rendah dari orang yang tinggi (sederhana tinggi)
 3. dadanya bidang
 4. bentuk kepalanya agak besar
 5. rambutnya ikal, dijaga rapi dibelah dua ditengah-tengah apabila disisir apabila baginda membiarkan rambutnya terurai, maka uraian rambutnya tidak melebihi cuping telinga
 6. kulitnya cerah, putih kemerah-merahan
 7. dahinya luas
 8. keningnya panjang dan melengkuk, sungguh sempurna tanpa bersambung keduanya. Diantara keduanya terdapat seakan rongga berisi darah
9. hidungnya mancung dan bersinar-sinar sehinggakan sinarannya menimbulka sangkaan bagi orang-orang yang tidak memerhatikannya dengan betul bahawa hidungnya terangkat
10. janggut baginda tebal
11. sepasang mata yang besar dan cantik berwarna hitam
12. kedua pipinya halus dan rata
13. mulut sederhana besar
14. giginya tersusun dengan teratur dan rapi sekali
15.  didadanya tumbuh bulu yang halus dan lembut
16. lehernya jinjang, putih melepak bagaikan putih pada perak
17. bentuk tubuhnya sederhana tidak gemuk
18. otot-ototnya tegap, tidak kendur
19. perut dan dadanya sama rata
20. jarak antara kedua bahunya luas
21. bahagian anggota yang tidak berbulu berkilau-kilauan
22. bahagian leher dan pusatnya bersambung oleh jalinan bulu halus bagaikan satu garisan
23. kedua belah teteknya tidak ditumbuhi bulu
24. kedua belah siku, bahu dan pada sebelah atas pergelangan tangannya terdapat bulu yang lebat
25. kedua pergelangan tangannya lebar
26. kedua tapak tangannya kasar bercampur lembut
27. jari-jemarinya panjang
28. kedua belah sikunya kasar
29. kedua tapak kakinya berlekuk
30. kedua belah tumitnya halus dan licin bagaikan air lepas sahaja keadaannya
31. apabila berjalan terangkat kakinya dari tanah  dengan langkah yang cergas dan kuat tetapi tenang sahaja
32. langkah teratur tetapi sopan dan segera
33. apabila sedang berjalan seolah-olah menuruni anak-anak tangga
34. apabila menoleh, baginda memusingkan seluruh tubuhnya
35. sentiasa tunduk dan merendahkan pandangan. Pandangan ke bawah lebih banyak dari pandangan ke atas
36. memandang dengan ekor mata
37. selalu berjalan mendahului para sahabat jika berjalan bersama-sama mereka
38. mendahului memberi salam jika berjumpa sesiapapun di jalan
39. senyumnya menawan bagaikan embun dingin di waktu pagi."

Itulah sifat-sifat lahiriah insanul kamil yang mulia tanpa cela. Salawat serta salam buat junjungan besar kita , Nabi Muhammad saw, seindah-indah kejadian bagi seorang pesuruh Allah yang kita cintai. Ameen.



LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

terima kasih dariku...

Tajuk-tajuk saya

Menyentuh Hati-Peristiwa Almarhum Ustaz Fadhil Noor

Syuhada Chechen. Mereka telah memilih Syahid.