Baitullah : Rindu yang tak pernah padam

Baitullah : Rindu yang tak pernah padam
Baitullah : Rindu yang tak akan padam hingga ke akhirku...

Saturday, October 30, 2010

Pelahap Zakat Bukan Hantu Jembalang

DAIF...Salma bersama empat daripada lapan anaknya. 


(DAIF...Salma bersama empat daripada lapan anaknya)
 Kak Salma ghajin ko dapak duik zakak ? Cobo ngoyak bughi....nak masuk sughatkoba ni....


Berita 1 : Hantu Zakat

Menurut Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2009 yang dikeluarkan Isnin lalu, 70 unit penghawa dingin itu tiada disenaraikan dalam Laporan Lembaga Pemeriksa tetapi pengurusan MAIWP mencadangkannya untuk pelupusan. Selain itu, semasa perpindahan ibu pejabat MAIWP pada Februari 2008, sebanyak 348 aset alih bernilai RM136,265 seperti kelengkapan pejabat, perabot dan penghawa dingin ditinggalkan.


Penemuan lain melibatkan kes pembelian barangan hampir RM80,000 yang tidak digunakan, kehilangan aset bernilai RM45,789 serta pembelian minyak yang meragukan dan melebihi kapasiti tangki.

Dalam satu kenyataan awal petang ini, Dr Mohd Asri berkata, pendedahan audit itu amat menghairankan kerana ketika ratusan juta ringgit wang zakat dipungut, si miskin terus menderita dan merempat.

"Hantu manakah yang mencuri atau menipu wang zakat kita, sehingga yang berhak tidak memperolehinya? Tangan-tangan siapakah gerangan? Jembalang di hutan, atau lebai berserban?

"Yang menggunakan nama syaitan, atau yang menggunakan nama Tuhan? Akhirnya wang umat Islam ketirisan dan kecurian," katanya dengan nada sinis.

Berita 2 : Bersesak dalam kandang lembu

  BACHOK: Akibat kesempitan hidup, 12 beranak terpaksa bersesak dalam kandang lembu diubah suai menjadi bangsal mereka di Kampung Pak Mali, Bakong dekat sini, sejak setahun lalu.
Walaupun hidup dalam keadaan sukar dan serba kekurangan, itu hakikat terpaksa dilalui keluarga Salma Mamat, 36, dan Zakaria Abdullah, 42, selepas dihalau pemilik rumah sewa mereka di Pekan Gunong sebelum ini kerana tidak mampu membayar sewa.

Salma berkata, suaminya yang bekerja sebagai buruh hanya mampu menyediakan makan minum ala kadar untuk keluarga.

“Kami tiada pilihan selain tinggal di dalam bekas kandang lembu ini sebagai tempat berteduh dari hujan dan panas. Jika hujan lebat, tanah yang menjadi lantai rumah kami akan becak menyebabkan kami bertambah tidak selesa,” katanya sayu.
 

Assalamualaikum Pengunjung budiman.Dari kedua-dua berita yang dipetik, saya cuba buat satu ta'akulan mantik atau logik untuk membuat satu deduksi. Hantu jembalang..makanannya asap dan tulang..Drakula  pontianak kononnya hisab darah orang...Langsuyir pula hanya nak takut-takutkan orang...saya rasa...mungkin toyol sebab dia cintakan wang..Ciss!! bedebah toyol pelahap zakat terlarang..yang hanya untuk asnaf-asnaf yang derita memanjang...Tapi kata toyol, dia tak pandai membeli barang-barang, jadi ini mesti tuan toyol yang punya angkara songsang !!


Ya pengunjung budiman...Amil-amil zakat di zaman Rasulullah saw serta zaman khulafa ar Rasyideen, keluar berjalan mencari rakyat yang dhaif fakir dan miskin serta asnaf-asnaf yang berhak menerima wang zakat. Wang zakat yang dikumpulkan tidak disimpan lama dan terus diagihkan dengan kadar segera supaya ummat yang memerlukan tidak terus menderita. 


Sungguh aneh zaman ini di tempat kita ini bilamana asnaf-asnaf terpaksa datang ke PPZ memohon bantuan zakat dan bukannya amil yang datang mencari mereka. Borang permohonan pula perlu diisi dan ditapis untuk menyiasat kesahihan maklumat pemohon. Ada institusi zakat suatu negeri mengamalkan konsep  "setiap pemohon zakat adalah penipu sehingga berjaya membuktikan ia tidak berbohong". Tidakkah ini konsep yang zalim dan menyusahkan asnaf-asnaf? Secara logiknya asnaf-asnaf ini seboleh-bolehnya tidak mahu meminta-minta dan biarlah ada insan yang datang bertanya. Tetapi bilamana tidak ada yang mahu menanya khabar sudah pasti mereka terpaksa menyua muka di PPZ dengan hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Bertambah malang apabila orang-orang di PPZ pula membuat kata-kata sinis kepada mereka dengan menegaskan wang zakat bukan untuk diminta-minta!! Carilah wang yang lebih bersih seperti 'air mutlak'. Wang zakat ini sekadar 'air mustakmal' yang belum tentu suci dan yang telah digunakan dari pembersihan wang pendapatan !! Siot betul alasan mereka itu.


Akibatnya...berlakulah puluhan jutaan wang zakat yang tidak diagihkan  malah mungkin juga disonglapkan oleh toyol-toyol PPZ untuk tuan-tuannya sedangkan ada ramai lagi ummat yang dhaif merempat di bawah jambatan, di kandang lembu, di pondok usang di merata-rata bumi malaysia yang layak menerima wang zakat. Allahu'aklam.



Ulama Ialah Garam Bagi Bumi

Jadilah Ulama' ...bukan fullamak!!

Assalamualaikum pengunjung budiman. Iman AI-Ghazali menganggap para ‘ulama’ bertanggungjawab di atas kemunduran ummat Islam. Baginya ‘ulama’ ialah umpama garam bagi bumi. Kalau mereka menyeleweng nescaya orang ramai akan menyimpang dari jalan yang lurus. Seorang penyair Arab telah menyatakan hal yang sama dalam sajaknya:

Wahai para ‘ulama’, kamu bagai garam bagi bumi;
Sekiranya garam itu dicemari apakah yang dapat menyucikannya?

Seterusnya Imam AI-Ghazali berkata  para ‘ulama’ adalah tabib tetapi jika mereka pun sedang sakit tenat tidak terdaya, bagaimana pula mereka dapat mengubati orang lain. Menurut beliau  punca utama penyimpangan para raja dan penguasa adalah juga kerana ulama yang 'sakit'. Beliau menulis :

” Pendek kata kemunduran rohaniah rakyat berpunca daripada kerosakan para penguasanya, dan kerosakan para penguasa disebabkan penyimpangan para ‘ulama’, Kalau tidak kerana para qadhi dan ‘ulama’ yang mementingkan dirinya, nescaya para penguasa tidak akan runtuh akhlaqnya, kerana mereka akan ditegur oleh para ‘ulama’.”

‘Ulama’ yang gagal menunaikan tugas menyuruh yang ma’ruf dan mencegah yang munkar telah dikecam keras oleh AI-Ghazali. Beliau kesal dengan para ‘ulama’ zamannya yang takut menyatakan yang haq di hadapan raja kerana mereka dijangkiti penyakit cinta pada harta, nama dan kuasa. Selepas menyebutkan beberapa contoh di mana para ‘ulama’  telah menentang pen guasa zalim, beliau berkata dalam Ihya’:

” Itulah caranya ahli ‘ilmu menyuruh yang ma’ruf dan mencegah yang munkar. Mereka tidak mempedulikan kemegahan para penguasa kerana mereka menyerah kepada Allah serta yakin bahawa Allah akan melindungi mereka. Jika dikehendaki Allah, mereka sanggup menggadai nyawa mereka demi kebenaran. Apa jua yang dikata mereka berkesan di jiwa orang, sebab niat mereka suci. Keikhlasan mereka menginsafkan golongan yang keras hati sekalipun. Tetapi sekarang para ‘ulama’ telah dibisukan oleh kelazatan duniawi, dan walaupun mereka berkata sesuatu, nescaya ia tidak diendahkan kerana mereka tidak ikhlas lagi. Tetapi kalau mereka berubah sekarang serta menanamkan sifat zuhud, azam dan tidak pentingkan diri sendiri, nescaya kata-kata mereka akan berkesan kembali. Manusia telah mundur kerana penguasanya; dan penguasa telah menyimpang disebabkan kelemahan ‘ulama’. Orang yang dijangkiti penyakit cinta kepada dunia tidak terdaya menegur orang kebanyakan, apatah lagi golongan atasan dan penguasa.
oleh: Abul Hasan Ali al-Hasani al-Nadwi

Wednesday, October 27, 2010

Nasihat Iman Buat Bloggers Lelaki : Bila Aurat Wanita Jadi Pelaris Blog

Kan sejuk mata memandang... Tidak ada pendedahan aurat...hijau pulak tu...

Assalamualaikum pengunjung budiman. Sekadar nak melepas perasaan yang terbuku dan berbulu dihati. Niat di hati membuat pelayaran kembara ilmu , info-info, isu yang panas-panas dan masih panas di blog sahabat-sahabat blogger, kadang-kadang lain yang dihajat, lain pula yang dapat. Adakalanya dosa dan noda yang dibawa pulang oleh sepasang mata anugerah Allah ini. Apa ke tidaknya...acapkali mata ini menjamu gambar-gambar pendedahan aurat wanita yang begitu menjolok mata dan menggoncang iman kaum Adam, secara tidak sengaja, terutamanya dari blog-blog yang bertuankan encik-encik, abang-abang, pakcik-pakcik, yeop-yeop teman dan saudara-saudara yang bergelar lelaki. Penyiaran gambar2 aurat wanita nampaknya tidak terkawal di blog-blog peribadi melainkan dikawal oleh iman mutiara di dalam hati si lelaki. Dalam tinjaun secara rawak saya...blog kaum hawa.. nampaknya tidak gemar mempamerkan pendedahan aurat terlampau kaum sendiri. Telahan saya,  mungkin ada..cuma tidak ramai yang berbuat demikian.

Maaf bang....saya bukan chauvinist. Sekadar memberi nasihat iman. Adalah malang sekali apabila ada blogger yang ingin menulis atas nama Allah/pejuang Islam/pejuang keadilan sanggup memaparkan gambar-gambar tak senonoh aurat wanita. Buat  malu kompeni jer. Dah lah iklan-iklan virtual banyak yang berimej fasiq dan fasad tak boleh ditepis, ditapis dan ditangkis. Abang pulak menambahkannya lagi dalam post-post bang. Ingatlah bang....dalam Al Quran, Allah berfirman;

   “Barang siapa mengerjakan kebaikan sebesar zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasannya). Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan walau sebesar zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasannya).” (Surah al-Zalzalah, ayat 7-8) .

Setiap aksara yang kita taip, setiap dot pixel (dalam satu imej/gambar ada beribu-ribu titik pixel dalam gambar digital) yang terpapar, pasti tercatat dalam kitab amalan kita dan akan disoal dan dihisab kelak di hadapan Allah swt kerana satu dot pixel adalah lebih besar dari satu zarah. Allah swt pun menyoal bang nanti ...." Ya fulan ibnu fulan. Kenapakah gambar tak senonoh itu kamu siarkan ? ". So bang nak jawab apa ? Maka jawablah jari-jemari yang sengaja postkan gambar-gambar tersebut. " Ya Tuhan ku....gambar itu saja suka-suka kerana :

1. untuk melariskan blog..
2. untuk dapat ramai follower terutamanya follower yang gatai-gatai
3. untuk menimbulkan rasa syahwat dan syok sendiri.....
4. kalau tak post, mesej tak sampai.....
5. untuk.....(fikir sendiri satu jawapan yang ikhlas )".

Agak-agaknya, itu kah jawapan bang nanti ? Allahu'aklam.

Jagalah pandangan mata. Tundukkanlah ia kerana Allah swt telahpun berfirman;

"Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman, “Hendaklah mereka menundukkan pandangannya dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Mahamengetahui apa yang mereka perbuat.” Katakanlah kepada wanita yang beriman, “Hendaklah mereka menundukkan pandangannya, dan memelihara kemaluannya.” An-Nur : 30-31.

Menundukkan pandangan bermaksud mencegah mata dari melihat perkara-perkara terlarang yang boleh mengundang syahwat lebih-lebih lagi aurat wanita. Memang salah wanita itu kerana mengheret  mata lelaki memandang aurat yang terbuka..tetapi salah juga tuan kepada mata yang berupaya mengubah arah pandangannya! Jadi...di alam maya ini, tuntutan menundukkan pandangan tidaklah dikecualikan kerana hukum dan perintah  Allah yang jelas terpakai dimana-mana sahaja, bila-bila masa hinggalah yaumul Qiyamah.

Jangan bekalkan dosa-dosa zina mata (lahadhat) kepada followers anda yang beratus-ratus itu, malah ada yang beribu-ribu dengan paparan aurat wanita yang terlampau. Tuan juga mendapat saham dari dosa-dosa zina mata pengunjung blog tuan. Sanggup tuan pikul dosa mata beribu-ribu followers tuan ? Kalau sanggup..tafaddhal ! Teruskan.


Gambar seperti ini mungkin membuatkan blog abang tak laku...

Terrrrrpandang sekali, tak pe bang....
Rasulullah Shallahu Alaihi Wa Sallam, pernah menasihati Ali :
Jangan kamu ikuti pandangan pertamamu dengan pandangan kedua dan selanjutnya. Milik kamu adalah pandangan yang pertama, tapi yang kedua bukan”.
Dalam musnad Ahmad, disebutkan, Rasulullah Shallahu Alaihi Wa Sallam, bersabda :
Pandangan adalah panah beracun dari panah-pandah Iblis. Barangsiapa yang menundukkan pandangannya dari keelokkan wanita yang cantik karena Allah, maka Allah akan mewariskan dalam hatinya manisnya iman sampai hari kiamat”.
Masalahnya..bang sengaja pulak letak gambar perempuan yang menyembulkan bijik mata orang lelaki. Mana mungkin terpandang sekali..mesti berkali-kali !! Ye tak.
Pengunjung yang dikasihi. Tidakkah kita menulis ini untuk mendapat faedah atau suatu kebaikan seperti kepuasan diri dan pahala (dan pelbagai lagi niat-niat yang tulus )? Jadi elakkanlah menyiarkan gambar-gambar dosa dan fasiq !!! Sebagai muslimah, persoalan aurat adalah sangat-sangat-sangat penting bagi saya. Bukan saya seorang yang perlu menutup aurat, gambar-gambar yang dipostkan juga perlu ditutup aurat nya. 
Jaga mata..jaga mata..jaga mata kerana mata yang terpelihara akan melorongkan kita kepada manisnya beribadah serta kusyuknya sembahyang. Saya yakin bang tak akan boleh kusyuk sembahyang apabila terpandang seorang wanita seksi. Betul tak ? Kerana apa ? Kerana rosak mata, rosaklah iman !!
Akhir kalam, ini adalah nasihat iman dari blogger kepada blogger yang berkaitan sahaja (ramai juga sahabat blogger yang soleh-soleh. Alhamdulillah) terutamanya nasihat iman kepada blogger yang bernama TINTAMUALLIMAH. Allahu'aklam.


Friday, October 22, 2010

Kak Semah Oii....Ini Le Dia Fesyen Islamik...


Assalamualaikum pengunjung budiman. Memang kacau bilau haru biru IFF (Islamic Fesyen Festival) Datin RM di Monte Carlo baru-baru ni.......Fesyen islamik beliau sebenarnya fesyen faasiqeen wal jahili wal tak ngajik wal membuta tuleek wal hina islamik. Fesyen islamik sebenar adalah seperti diatas kak Semah !! Tengok betoi-betoi ...

" ..dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliah yang dahulu " Al Ahzab: 33

Rasulullah saw melihat kaum perempuan diazab di dalam neraka dengan pelbagai rupa 'azab. Diantaranya dilihatnya perempuan yang digantung dengan rambutnya menggelegak otaknya.
"Adapun perempuan yang digantung dengan rambutnya itu ialah kerana dahulu (di dunia) ia tiada menutup rambutnya daripada pandangan laki-laki ajnabi" . Sabda baginda lagi;

" Sesungguhnya termasuk ahli neraka , iaitu perempuan-perempuan berpakaian tetapi telanjang yang condong kepada maksiat. Mereka ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya.".(riwayat Muslim). A'uzubillahi minzallik.

Wednesday, October 20, 2010

Semoga Mendapat Haji Mabrur


Didoakan  semoga semua tetamu Allah yang menunaikan haji tahun ini, dipermudahkan segala urusan ibadah di Tanah Suci  Mekah dan insyaAllah mendapat haji yang mabrur serta selamat pergi dan selamat kembali ke tanahair seperti anak kecil yang baru dilahirkan. Semoga Allah menganugerahkan kesabaran dan ketaqwaan semasa menghadapi segala kesukaran dan mehnah di Tanah Suci. Doakan kami yang  tinggal di belakang ini akan sampai pula giliran kami menyahut panggilan Baitullah di tahun-tahun hadapan. Ameen.

Rasulullah saw Hanya Mengerjakan Haji Sekali Semasa Hayat Baginda


Qatadah berkata, "Saya bertanya kepada Anas, 'Berapa kali Nabi mengerjakan umrah?' Ia menjawab, ' empat kali, (semuanya pada bulan Dzulqai'dah, kecuali yang bersama hajinya), iaitu umrah dari Hudaibiyah pada bulan Dzulqai'dah ketika beliau dihalang-halangi kaum musyrik. Umrah pada tahun berikutnya dalam bulan Dzulqai'dah, sesuai dengan perjanjian damai dengan mereka, dan umrah Jira'nah, yaitu ketika membagi rampasan Hunain, (dan umrah bersama hajinya).' Saya (Qatadah) bertanya, 'Berapa kali beliau mengerjakan haji?' Ia menjawab, 'Satu kali.'"
 
Assalamualaikum pengunjung budiman. Junjungan Rasulullah saw hanya mengerjakan sekali haji sahaja  sepanjang hayat baginda.  Haji yang dikerjakan Rasulullah dinamakan "Hajjatul Wada'" iaitu haji selamat tinggal kerana tidak berapa lama selepas haji tersebut Rasulullah saw wafat. Baginda telah berangkat dari kota Madinah pada hari Sabtu, 25 Zulkaedah, tahun ke sepuluh Hijrah bersama sekelian isteri-isteri baginda, sahabat-sahabatnya dan orang-orang mukmin seramai 90,000 orang (sesetengah riwayat mengatakan lebih daripada itu).

Apabila rombongan Haji Rasulullah berangkat, Kota Madinah  diserahkan di bawah jagaan Abu Dujanah Al Ansari. Angkatan baginda  sampai di Zulhulaifah (Bir Ali) lalu berhenti semalam. Pada keesokan harinya baginda dan kaum Muslimin memakai ihram dan berniat Haji serta mengucapkan;


Bayangkan kegembiraan, kesyukuran dan kehebatan rombongan haji yang bergitu padu dan cemerlang yang dipimpin oleh semulia-mulia dan seagung-agung makhluk di muka bumi iaitu Rasulullah saw. Bergemuruhlah bunyi talbiah, sepanjang-panjang jalan dari Madinah hingga ke Mekah.

Baginda dan rombongan masuk ke Mekah melalui Thaniah Kada iaitu sebatang jalan dekat dengan perkuburan Ma'ala pada pagi Ahad 4 Zulhijjah ( 9 hari perjalanan) Tatkala terpandang Ka'abah yang mulia baginda berdoa;

للهم زِدْ بَيْتَكَ هَذاَ تَشْرِيْفاًَ وَتَكْرِيْماً وَتَعْظِيْماً وَمَهاَبَةً وَرِفْعَةً وَبِراًّ

" Ya Allah Ya Tuhan kami, tambahkanlah Baitullah dengan kemuliaan dan kebesaran, kehebatan dan kebajikan."

Kemudian rombongan baginda masuk ke dalam Masjidil Haram lalu tawaf tujuh kali. Sembahyang dua rakaat di belakang Makam Ibrahim dan minum air zam-zam. Kemudian bersaei di antara Bukit Safa dan bukit Marwah sebanyak  tujuh kali. Apabila baginda naik ke Bukit Safa lalu baginda mengucap;
"Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah  dan allah itu  Maha Besar. Tiada Tuhan melainkan Allah Yang maha Esa yang melaksanakan janjinya dan menewaskan segala pasukan musuh Islam dengan keesaanNya."

Pada 8 haribulan Zulhijjah bagindapun berangkat pula ke Mina lalu bermalam semalam. Pada keesokan harinya, Rasulullah bersama kaum muslimin ke Arafah dan disana baginda berkhutbah dengan khutbah tersohor dalam sejarah dakwah baginda kerana khutbah tersebut telah membayangkan baginda akan meninggalkan kita buat selama-lamanya untuk bertemu Kekasihnya yang dirindui. Antara ucapan baginda yang bermaksud;

" Wahai sekelian manusia, dengarlah percakapanku ini, kerana aku tidak tahu boleh jadi aku tidak lagi berjumpa kamu selepas tahun ini di tempat wuquf ini buat selama-lamanya ."

Dikatakan bahawa Rasulullah saw juga telah bersabda ketika baginda wuquf di Arafah yang menerangkan bahawa Arafah itu semuanya tempat wuquf. Tatkala berhenti di Quzah Sabihah di Mudzalifah, baginda bersabda;
" Ini adalah tempat mabit (bermalam) dan mana-mana sahaja di bumi Mudzalifah adalah tempat mabit".

Kemudian baginda menyembelih korban di Mina dan baginda bersabda;
" Ini adalah tempat sembelih korban, dan di mana-mana tempat di Mina adalah tempat korban."

Rasulullah kemudian menyempurnakan semua ibadat hajinya dan baginda menerangkan apa yang halal dan apa yang haram sewaktu mengerjakan haji dan akhirnya kembali ke Madinah. Haji ini juga dikenali sebagai Hajjatul Wada', Hajjatul Balagh, Hajjatul Islam, Hajjatuttammam wal kamal ( Haji sempurna dan lengkap) kerana pada hari itu turunnya firman Allah swt ;

" Dan hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan aku telah  redha Islam itu menjadi agama untuk kamu." Al Maidah : 3.

Selepas menunaikan haji tersebut Rasulullah pergi buat selama-lamanya meninggalkan ummat yang sangat dicintai baginda.

What if......

Salam,
 
Untuk renungan bersama….
 
 

 
 

Ever wonder what would happen if we treated our Quran like we treat our cell phone? 

What if we carried it around wherever we went?

What if we flipped through it several time a day?

What if we turned back to go get it if we forgot it?

What if we used it to receive messages from the text?

What if we treated it like we couldn't live without it?

What if we gave it to Kids as gifts?

What if we used it when we travelled?

What if we used it in case of emergency?

This is something to make you go....hmm...where is my Quran?

Oh, and one more thing.

Unlike our cell  phone, we don't have to worry about our Quran being
Disconnected because Allah already paid the  bill.

Makes you stop and think 'where are my priorities? And no dropped calls!
(Email received from my hubby)

Tuesday, October 19, 2010

Bajet 2011 : Bajet Underwear RM?

Assalamualaikum pengunjung budiman. Bajet 2011 nampaknya menjadi serangan blogger-blogger dengan sindiran-sindiran pedih dan sinis apabila Perdana Menteri mengumumkan  duti import ke atas kira-kira 300 barangan pelancongan dan rakyat tempatan dimansuhkan.






NONE

Barangan ini merangkumi kegunaan harian seperti beg tangan, kasut, sut, baju kanak-kanak, dompet, pewarna rambut...” kata Najib sambil kedengaran gelak ketawa dari ahli parlimen.

Beberapa ahli parlimen kemudiannya melaungkan “Rosmah!” disambut gelak ketawa rakan-rakan mereka.

Najib senyum sinis dan memperlahankan bacaan teks ucapannya sambil menyambung: “Pakaian malam, seluar dan seluar dalam serta wangi-wangian, termasuklah kelambu. 



Bajet 2011 telah mengheret "Wanita Pertama" (gelaran kontroversi) Rosmah Mansor kepada kecaman-kecaman pembangkang apabila belanjawan 2011 seakan-akan berorientasikan minat dan keperluan Rosmah. Macam-macam gelaran yang diberi untuk bajet 2011 ini seperti Bajet Seluar Dalam, Bajet spenda , Bajet RM (Rosmah Mansor) dan pelbagai gelaran yang sinis dan bernada kelakar. Bajet 2010 dulu juga telah mencetuskan fenomena RM apabila  program PERMATA beliau mendapat peruntukan RM100juta sedangkan banyak porfolio termasuk Kementerian Pelajaran terpaksa mengikat perut dalam soal menguruskan kewangan. Hal ini nampaknya berlaku lagi.

Saya tidak pandai membincangkan hal politik kerana bacaan politik saya selalu tersasar. Mungkin bukan arena saya lebih2 lagi sebagai govt servant dan pendidik, saya telah dikursuskan supaya akur perintah dan patuh akur janji. Kalau tidak..miss soru laa..Kami adalah pelaksana dasar yang tidak banyak  boleh bersuara lebih2 dalam soal politik. So disini, saya tak mahu sentuh hal politik tetapi lebih nak membincangkan rasional Bajet 2011 dari sudut statistik dan matematik (bidang saya) khasnya peruntukan yang diagihkan untuk pendidikan.


 Assalamualaikum makcik. Makcik tau tak harga handbag dah turun ? Guna handbag je lah makcik..jangan guna bakul lagi.

Mungkin agak geram sedikit bila Bajet 2010 telah merencatkan pelbagai program pendidikan serta pembangunan ilmu di semua institusi pendidikan. Di tempat saya sendiri, pelbagai elaun tidak boleh dituntut termasuk elaun perjalanan menjalankan praktikum serta elaun mengajar kursus semasa cuti (dah la tu..cutipun kena bertugas). Pensyarah terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk menguruskan pengajaran dan pembelajaran di bilik kuliah. Kursus-kursus serta LPS hanya berbentuk dalaman sahaja dan pelbagai belanja mengurus terpaksa dipotong dan dicatu. Tidak ada lagi Hadiah Latihan Persekutuan bagi guru2 atau pensyarah2 yang ingin melanjutkan pelajaran kecuali cuti belajar tanpa biasiswa. Pelajar2 pula terpaksa mengeluarkan belanja sendiri untuk program-program luar kampus dan adakalanya menagih derma dan tajaan pensyarah2. keadaan ini telahpun berlalu selama setahun semenjak belanjawan 2010 dibentangkan.

Nampaknya kesulitan ini akan berterusan setelah Bajet 2011 dibentangkan  3 hari lalu yang pasti sehinggalah belanjawan 2012 dibentangkan kelak. Belanjawan kali ini menyaksikan penurunan peruntukan untuk pendidikan yang mana sebanyak 29.3 billion diperuntukkan untuk 5.5 juta pelajar diseluruh negara sedangkan Bajet 2010 telah memperuntukkan lebih daripada 30 billion. Namun projek PERMATA RM mendapat penambahan imbuhan sebanyak RM 111 juta ( semangat 1Malaysia) berbanding RM 100 juta pada tahun lepas yang diperuntukkan untuk pelajar seramai 17, 565 0rang. Dari segi kiraan matematik    pelajar2 PERMATA lebih mendapat keistimewaan dan menjadi intan terpilih ! Mungkin sesetengah kita merasakan perbezaan perbelanjaan untuk setiap pelajar PERMATA dan bukan PERMATA adalah kecil (lihat di bawah) tapi sebenarnya ianya memberi implikasi tertentu terhadap agihan peruntukan yang berat sebelah. Bagi seorang pendidik seperti saya, setiap anak Malaysia berhak mendapat pendidikan yang sama rata di peringkat mana sekalipun.


2011 - RM29 300 000 000 / 5500 000 pelajar = RM5327.272727/setiap pelajar bukan PERMATA .        RM 111 000 000 / 17565 pelajar = RM6319.3851/setiap pelajar PERMATA.


Saya benar-benar berharap PM yang ada sekarang lebih prihatin dan mendahulukan rakyat daripada tuntutan-tuntutan yang berbentuk peribadi dan peribody. Alangkah aibnya bila Pemimpin2 kita terus menunjukkan minda yang bangkrap dan bersikap tidak rasional dalam pentadbiran negara semata-mata kerana mendahulukan bini !

Saturday, October 16, 2010

Percikan Peluh Di Dahi : Tanda Perginya Orang Beriman


Belum pasti lagi keadaan kita diambang sakaratul maut.

Assalamualaikum pengunjung budiman. Sabda Nabi Muhammad SAW didalam hadith riwayat Ahmad, at-Tirmizi, an-Nasaa-i, Ibnu Maa-jah, Ibnu Hibbaa-n, al-Haa-kim:
مَوْتُ الْمُؤْمِنِ بِعَرَقِ الْجَبِيْنِ
Maksudnya: Mati orang beriman itu dengan percikan peluh di dahi.
 (Menurut Imam Tirmidzi, hadith ini tingkatnya hasan/baik.)
Imam Tirmidzi dalam kitabnya Nawadir al-Ushul menyebutkan, dari Salman Al-Farisi r.a. beliau berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda:


"Jagalah mayat ketika kematiannya dan perhatikanlah tiga perkara:

1) bila dahinya berkeringat.
2) air matanya berlinang.
3) hidungnya keluar hingus, maka hal tersebut penanda rahmat Allah untuk si mayat."

Abdullah Ibnu Mas'ud berkata, kadang kala keringat orang yang beriman itu merupakan petanda masih ada sisa dosa yang ada padanya, kemudian dibersihkan pada waktu sampainya sakaratul maut, ertinya ia merasakan luar biasanya peristiwa itu untuk berpisah dengan dunia, sedang ia berkeinginan untuk segera menuju ke hadrat Tuhannya yang Maha Mulia. Imam Qurtubi dalam perkara ini menjelaskan;


"Telah kami kemukakan tentang tiga tanda-tanda tersebut, yang juga boleh terjadi bahawa tanda-tanda itu tampak satu atau dua sahaja. Saya pernah saksikan hanya satu saja dari tanda-tanda tersebut berupa keringat di dahi orang yang meninggal dunia."

Tanda-tanda perginya seorang yang beriman kepada Al Khaliqnya ada pelbagai lagi selain yang telah dinyatakan tadi seperti mengucap syahadah ketika matinya, mati syahid berjihad dan beberapa tanda lagi. Boleh layari http://assabil2.blogspot.com/2010/01/tanda-tanda-mati-baik-husnul-khaa-timah.html

Saya sendiri telah menyaksikan saat-saat kematian seseorang yang mempunyai tanda-tanda orang beriman menghadap Tuhannya. Peluh memercik membasahi dahi walaupun sekujur tubuh dingin membeku. Apabila peluh itu diusap, ianya tetap terus keluar dan membasahi dahi sehinggalah roh beliau meninggalkan jasadnya. Di saat telah menjadi mayatpun, dahinya masih lagi berpeluh-peluh membasahi selindang ibunya yang menutupi wajah Allahyarham. Kelopak matanya turut berlinang airmata. MasyaAllah, kembalilah jiwa itu dengan redha lagi diredhai dengan wajah yang senyum dan tenang. Itulah arwah bapaku yang dicintai, Allahyarham Mohd Noor bin Abu Bakar yang terlibat kemalangan, menghembuskan nafas terakhir pada malam Jumaat, Februari 1991. Ayat-ayat Quran adalah kalimat-kalimat terakhir sebelum koma. Pemergian beliau 19 tahun dahulu menjadi kenangan terindah yang tidak dapat kulupakan sampai bila-bila. Bagaimana pula keadaan kita nanti di saat nyawa dicabut ? Allahuaklam. Belum pasti lagi....

Kelebihan Bersabar Atas Kematian



Assalamualaikum pengunjung budiman. Dalam Al Quran, Allah telah mengemukakan dengan tegas  bahawa manusia itu tidak akan terlepas dari ujian mental untuk menguji kesabaran dan keimanan kita. Baik cobaan itu berupa ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, hilang pekerjaan, difitnah dihina, dikurangi hasil pertanian dan buah-buahan, ataupun cobaan jiwa  seperti ditimpa penyakit dan kematian ahli keluarga yang dikasihi. Namun segala cobaan yang bermacam-macam itu, apabila menimpa kepada seseorang, janganlah diterima dengan putus asa dan keluh kesah, tetapi terimalah cobaan itu  dengan ketabahan dan kesabaran, jika seseorang itu inginkan  pahala yang besar serta kasih sayang dan petunjuk Allah Ta'ala. Allah swt telahpun berfirman ;

 " Dan sungguh Kami akan berikan cobaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar". Al Baqarah : 155

Dalam ayat lain ditegaskan pula, bahwa apabila seseorang itu ditimpa suatu musibah, maka ia diperintahkan untuk bersabar. Firman Allah swt;

" Dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan ( oleh Allah)." Luqman : 17.

Adapun ucapan yang utama untuk orang yang ditimpa ujian kehilangan sanak saudara ialah "Inna lillahi wainna ilaihi rooji'uun". Maksudnya " Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepadaNyalah kami kembali. Inilah kalimat istirjaa (pernyataan kembali kembali kepada Allah) yang disunnahkan menyebutnya diwaktu sesorang ditimpa musibah samada musibah kecil mahupun musibah yang besar. Kalimat ini diucapkan bukan sahaja tatkala menerima berita kematian malah tatkala diri kita sendiri mahupun orang lain ditimpa sebarang musibah yang tidak melibatkan kematian. Firman Allah swt bermaksud;

" (Iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan inna lillahi wainna ilaihi rooji'uun ." Al Baqarah : 156.

Ringkasnya, kerana sangat pentingnya kesabaran itu, maka apabila seorang yang beriman itu redha dan sabar terhadap orang yang dikasihi meninggal dunia, maka tidak ada lain yang orang sabar itu terima melainkan pahala syurga. Dari hadith yang diriwayatkan dari Abu Hurairah ra, Rasulullah bersabda ;

" Allah Ta'ala berfirman : Tidak ada pembalasan bagi seorang hambaKu yang mukmin, jika Aku mengambil kekasihnya di dunia, kemudian ia redha dan berserah kepadaKu, melainkan syurga (balasannya)".

Kita adalah milik Allah dan kepadaNyalah kita kembali. Hamba yang mati itupun milik Allah dan ia kembali kepada Nya. Yang pergi mendahului kita kerana gilirannya sudah sampai bertemu Al Khaliq dan kita yang masih bernafas ini InsyaAllah akan menyusul kemudian. Oleh kerana itu bersabarlah bagi keluarga yang menerima kematian insan tersayang kerana kesabaran itu  ada  ganjaran besar yang menunggu di hadapan, insyaAllah.

Al Fatehah Buat Sharifah Nor Asmira Syed Salahuddin

Seorang lagi mangsa nahas bas meninggal


2010/10/16 (Berita Harian Online)

MELAKA: Seorang lagi mangsa kemalangan negeri di Kilometer 222.9 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Pedas, Negeri Sembilan, Ahad lalu, Sharifah Norasmirah Syed Sallehudin, 21, meninggal dunia di Hospital Melaka, semalam.

Timbalan Pengarah Hospital Melaka, Dr Rauf Abdol Jaafar, berkata pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur itu menghembuskan nafas terakhir jam 12.05 pagi di samping ahli keluarganya, menjadikan jumlah keseluruhan 13 mangsa maut akibat kemalangan itu setakat ini.


Dalam kemalangan kira-kira jam 6.55 petang itu, 12 terbunuh manakala sekurang-kurangnya 40 lagi cedera apabila bas Delima Ekspress merempuh tiga kereta, sebuah van dan sebuah bas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas terbabas dari arah bertentangan.


Jenazah mangsa, selamat dikebumikan jam 3 petang semalam di Tanah Perkuburan Kampung Padang Tanjung, Marang, Terengganu. 




Al Fatehah

Al Fatehah buat Allahyarham Sharifah Nor Asmira Syed Salahuddin yang merupakan pelajar di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu , Lembah Pantai, yang menghembuskan nafas terakhir pada malam Jumaat, 15 Oktober 2010, setelah terlibat kemalangan maut bas ekspress berhampiran tol Alor Gajah , Melaka pada 10.10.2010.

Allahyarham merupakan pelajar PISMP Semester 4, kelas 4B yang menuntut di Institut ini.

Kami warga-warga IPG KBM mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan berdoa agar keluarga Allahyarham bersabar atas dugaan yang menimpa dengan pemergian Allahyarham. Kesedihan dan kesabaran yang dilalui, insyaAllah akan diganjari dengan pahala yang  besar dari Allah swt. Sebagai salah seorang warga IPG KBM, kehilangan beliau amat dirasai oleh semua rakan-rakan di IPG KBM dan juga pensyarah-pensyarah di Institut ini. Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama orang-orang yang soleh

Tuesday, October 12, 2010

Mujahideen Melayu: As Syahid Fauzi Ismail

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang



Berbicara tentang Mujahidin, pasti ramai antara kita tidak menyangka bahawa bangsa Melayu yang kerdil ini juga mampu melahirkan barisan Tentera Allah yang sanggup berdada/berdepan dengan tentera Kuffar laknatullah. Kini, hamba persembahkan kepada kalian sebuah kisah yang amat rare untuk didengari dari lidah-lidah agamawan Malaysia, kisah yang tak semua sanggup & berani untuk diceritakan kepada pelapis-pelapis anak jantan Islam berbangsa Melayu, mahupun hendak dijadikan bedtime story anak-anak Muslim.

Inilah kisah dari seribu kisah, kisah kerdil disaluti darah, darah sang Pejuang demi membela Islam nan Suci. Bacalah, hayatilah, tangisilah, insafilah, sebuah kisah klasik untuk masa depan...


ALLAH HU AKBAR!!!




As Syahid Fauzi Ismail


Firman Allah yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang untuk jalan Allah, lalu mereka membunuh atau terbunuh At Taubah:111

Tahun 1980an banyak merakamkan peristiwa penumpahan darah para syuhada tanahair ini sebagaimana yang dicatatkan di Memali dan Lubuk Merbau. Dalam pada itu, ribuan para mujahiddin bermandikan keringat dan darah di Afghanistan, Chechnya, Iran, Arakan, Moro, Kashmir, Pattani, penyembelihan di Tanjung Periuk dan bumi Aceh di Indonesia. Di medan pertempuran bumi Afghanistan, ramai pula anak bangsa kita turut berjuang atas nama agama. 

Di antaranya ada dua anak Melayu yang telah diterima dagangnya oleh Al Khaliq. Yang pertama bernama Abdul Aziz Samad dari Selangor pada pertengahan 1988 namun tiada rekod untuk diceritakan lebih lanjut. Yang kedua ialah Assyahid Fauzi Ismail. Bagi mengenang gugurnya putera Melayu itu maka saya muat-turunkan selingkar kisah dari buku Memoir Jihad Anak Melayu Di Afghanistan tulisan saudara C.N Al Afghani @ Zainon Ismail untuk tatapan pengunjung laman web ini.

Latar Belakang As Syahid



Fauzi Ismail ialah anak kampung Kelut dalam Pokok Sena, Kedah. Dilahirkan dalam pada 1 September 1962, anak muda yang periang dan kental dengan semangat perjuangan ini merupakan pemuda PAS yang istiqomah mempertahankan tapak pusat pengajian Muassasah Darul Ulum iaitu projek terbesar PAS Kedah dalam tahun 1987. Muassasah ini terletak di Batu 14 1/2 Jalan Kuala Nerang berkeluasan lebih kurang 48 relung. Apabila berlaku rampasan sebahagian tanah tapak projek oleh pihak berkuasa, ratusan pemuda telah menawarkan diri untuk mengawal muassasah tersebut. Assyahid antara pemuda yang sanggup berjaga malam di sana.

Miskipun tidak mempunyai pendidikan asas agama yang mendalam tetapi semangat untuk menghayati perjuangan agama begitu kental. Sebelah siangnya beliau membuka kedai runcit di kampung dan malam pula dipenuhi dengan aktiviti keagamaan seperti mengaji al Quran, mengikut kuliah pengajian agama dan berusrah di tapak muassasah itu. Bermalam di sana memang mencabar kerana bertemankan nyamuk dan kedinginan malam. Mereka juga melibatkan diri dalam kerja sosial di kawasan setempat.

Fitnah Menduga Jiwa

Penglibatan pemuda-pemuda di Muassasah tersebut rupanya kurang disenangi oleh banyak pihak samada pihak luar maupun veteran-veteran PAS sendiri. Ekoran dari itu pihak berkuasa tempatan telah mengawasi mereka, lebih-lebih lagi bila aktiviti seni pertahanan diri diamalkan di sana. Guru silat mereka telah dilucutkan tauliah mengajar gara-gara tekanan pihak tertentu. Tekanan banyak pihak ini benar-benar mencabar mereka untuk bermujahadah di jalan Allah.

Berjihad



Idea untuk berjihad bersama mujahidin di bumi Afghanistan tercetus selepas menyaksikan kekejaman kaum kuffar menzalimi saudara-saudara seagama di sana. Ekoran dari itu mereka bersepakat untuk mewakafkan diri sebagai anggota mujahiddin. Setelah bersusah payah mencari wang perbelanjaan untuk pergi ke bumi yang sedang bergelora itu, akhirnya sebilangan anak muda dari tapak muassasah ini berjaya menyertai lain-lain sukarelawan perang jihad dari berbagai negara.

Dagangnya Dibeli Allah

As Syahid dan rakan-rakannya berpeluang kali pertama melawat kem musuh dan bandar Argoon yang telah menjadi padang jarak padang terkukur ditawan oleh mujahiddin. Bangkai musuh masih terbiar di jalanan tetapi keadaan cuaca yang begitu sejuk di sana menyebabkan bangkai tersebut tidak busuk. Berjuang di sini begitu mencabar ketika di musim sejuk kerana kedinginannya begitu mencengkam hingga ke tulang hitam.

Di Khemah, mereka berkawal dan bertugas mengikut jadual. Berpuasa sunat, sholat malam dan latihan jasmani dilakukan. Suatu pagi, dikisahkan assyahid ini bangun mandi sedangkan waktu itu musim sejuk. Rupa-rupanya beliau telah berhadas kerana malamnya bermimpi didatangi bidadari. Dikatakan bahawa bermimpi bidadari di kalangan mujahiddin adalah perkara biasa dan kebanyakannya mereka inilah yang akan terpilih sebagai syuhada dan berpeluang menghampiri bidadari.

Dimaklumkan setelah pasukan mujahiddin berjaya menawan daerah Khost, mereka telah pergi ke wilayah Jalalabad untuk bergabung dengan mujahiddin Arab di sana. Beliau telah diarahkan menjaga kubu di atas bukit yang sederhana tingginya di waktu malam. Bertemankan seorang rakan dari bangsa Arab, mereka mengawal kubu tersebut dan kawasan itu memang kerap disinggah peluru musuh. Telah ramai pula yang menemui syahid di bukit itu.

Memang sudah ditakdirkan antara ratusan biji bom dari kereta kebal musuh itu, ada peruntukan oleh Allah untuk assyahid Fauzi Ismail. Dengan gugurnya ledakan bom itu, berterbanganlah bidadari dari syurga Firdaus menyambut assyahid. Janji Allah itu benar, mimpi beliau sebelum ini memang menjadi kenyataan. Allah telah membayar nyawanya dengan keharuman kasturi dan bidadari yang serba suci. Anak muda itu syahid pada 28 Julai 1989. Allahu Akbar!! 

Tanda Kesyahidan



As Syahid Fauzi gugur di kubu itu dan rakannya yang parah dibawa turun untuk mendapat rawatan. Walaupun hampir 10 jam jenazah beliau berada di atas bukit itu, darah merah masih segar bugar dan panas mengalir.

Jangan kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati, bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki - Ali Imran 169

Manakala ibu-bapanya di kampung pula, telah dipertemukan Allah dengan anak lelaki mereka bergelar syuhada itu melalui alam mimpi. Mimpi mereka lebih mendahului berita dari manusia. Wajah anak mereka tersenyum sayang dengan berjubah dan berserban merah. Mengertilah mereka bahawa dagang anaknya telah dibeli Allah dan tentunya mereka juga akan mendapat imbuhan dari pelaburan yang termahal ini.
Apabila ditanya kepada bapanya tentang anaknya itu, beliau menjawab:

Dia tak mahu dunia. Dia tinggalkan kedai dan motornya untuk cari akhirat. Sekarang dia dah dapat... saya bersyukur.

Nota:Terima kasih dan jazakumullah Khairan kathira kepada C.N Al Afghani kerana membukukan kisah perjuangan ini. Semoga Allah memberi ganjaran dan rahmat kepada saudara. Bersabarlah dalam merintis onak dan duri tribulasi ini. Amin.

Hasil Nukilan


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

terima kasih dariku...

Tajuk-tajuk saya

Menyentuh Hati-Peristiwa Almarhum Ustaz Fadhil Noor

Syuhada Chechen. Mereka telah memilih Syahid.